Wednesday, January 22, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Unit SDT periksa ketepatan alat sukatan dan timbang

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan telah mengadakan lawatan pemeriksaan mengejut ke atas 40 buah sangkar ikan di Daerah Brunei Muara dan Daerah Belait baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hasil daripada operasi itu, Unit SDT memeriksa sebanyak 28 unit alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perniagaan.

    Manakala 20 unit daripadanya gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2) yang mana lima unit alat timbangan telah tamat tempoh pendaftaran penggunaan yang dibenarkan dan 15 unit tidak berdaftar.

    Pemeriksaan bermatlamat untuk memastikan sebarang penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT.

    Pihak syarikat telah dikeluarkan notis penyitaan dan dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu tersebut.

    Kesemua alat-alat berkenaan telah disita dan akan diserahkan kembali kepada pemilik-pemilik bagi tujuan aktiviti jual beli, mengikut peraturan yang telah ditetapkan, setelah ia diperbaharui atau didaftarkan.

    Sehubungan itu, para peniaga dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mematuhi akta dan peraturan yang berkuat kuasa di negara ini iaitu bertujuan bagi memastikan sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan adalah telus dan adil.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dan aduan boleh menghubungi Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.

    Pihak berkuasa semasa melakukan pemeriksaan. – GAMBAR SERAHAN SDT
    GAMBAR SERAHAN SDT
    GAMBAR SERAHAN SDT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda