Friday, February 7, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Unit SDT periksa ketepatan alat sukatan milik BMC

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, (MOFE) baru-baru ini telah mengendalikan pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan alat sukatan jenis flow meter milik Syarikat Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini, hasil daripada pemeriksaan dan penelitian di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), Kampung Sungai Liang, Daerah Belait pada 27 September lalu itu, ia adalah sah dan tepat serta peralatan yang digunakan berdaftar dengan Unit SDT selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, di bawah seksyen 3(1) dan (2).

    Pemeriksaan bermatlamat untuk memastikan alat sukatan dan timbangan yang digunakan bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT serta memberikan kebolehpercayaan kepada penjual dan pembeli dalam urusan perniagaan.

    Para peniaga dan pengguna alat sukat dan timbang disarankan untuk sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994, di bawah Seksyen 3(2), di mana setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat untuk menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan itu adalah bersalah.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan bagi sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.

    Gambar ramai semasa pemeriksaan alat sukatan berkenaan di Taman Perindustrian Sungai Liang, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi
    Alat sukatan jenis flow meter yang diperiksa. – Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda