Saturday, July 6, 2024
27.5 C
Brunei

    -

    Unit SDT periksa ketepatan alat sukatan milik BMC

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BELAIT, 3 JULAI – Satu unit alat sukatan jenis flow meter milik Syarikat Brunei Methanol Company (BMC) Sdn Bhd, baru-baru ini, telah menjalani Pemeriksaan Semula dan Penelitian Bacaan Ketepatan.

    Pemeriksaan yang diadakan di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK), Kampung Sungai Liang, Daerah Belait itu telah dikendalikan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE).

    Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh MOFE, hari ini, hasil daripada pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan alat sukatan jenis flow meter berkenaan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT.

    Ini selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994; di bawah seksyen 3(1) dan (2).

    Sehubungan itu, peniaga dan pengguna alat sukatan dan timbangan juga adalah dikehendaki untuk sentiasa mematuhi peraturan tersebut.

    Di bawah seksyen 3(2), setiap orang yang menggunakan atau ada pada miliknya untuk kegunaan perdagangan mana-mana timbangan, sukatan alat-alat bagi menimbang yang tidak dicap sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan ini adalah bersalah.

    Hukuman denda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang yang tersebut boleh dirampas dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan dagang yang dibuat dengan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang sedemikian adalah tidak sah.

    Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pihak syarikat dan orang ramai boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel atau panggilan telefon.

    Gambar ramai semasa pemeriksaan alat sukatan berkenaan di SPARK, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...