Unit tambahan pusat pengasingan siap

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Unit tambahan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan diharap siap esok dan penyerahan unit itu akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Walaupun bangunan baru siap, masih terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu dilakukan bagi memastikan ia selamat atau sesuai digunakan.

“Kita perlu membuat pembersihan klinikal bagi memastikan kelembapan dan suhu tidak akan membiakkan kuman dan sebagainya. Saya rasa ia akan mengambil masa beberapa hari lagi untuk dapat digunakan sepenuhnya, namun penyerahannya Insya Allah akan dibuat dalam masa terdekat,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab soalan mengenai unit tambahan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, apabila tempat tersebut sudah dibersihkan secara klinikal, maka ia boleh digunakan, manakala memandangkan penularan COVID-19 masih pandemik, hospital Tutong pada masa ini (bukan Pusat Pengasingan Kebangsaan) akan masih digunakan sebagaimana adanya.

Yang Berhormat Dato turut mengongsi bahawa jumlah pesakit sembuh di negara ini adalah tinggi, kira-kira 80 peratus, kerana mereka yang positif ini dikesan pada tahap awal lagi berbanding dengan negara lain dan kesembuhan juga adalah dengan izin Allah SWT jua.

“Lebih kurang separuh daripada mereka ini asimptomatik (tidak ada simptom) kerana kami membuat pengesanan kontak dan mengasingkan mereka pada tahap awal, ada simptom yang perlu kami rawat atau jika ia bertambah teruk, kami akan berikan ubat yang diperlukan seperti ubat anti-viral dan sebagainya,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurutnya lagi, petugas kementerian cukup agresif membuat pemeriksaan dan rawatan namun dari segi kos, ianya berbeza. Sebahagian mereka yang dimasukkan tidak mempunyai gejala dan hanya dipantau.

“Namun bagi mereka yang sangat sakit, kos rawatan adalah sangat mahal. Penggunaan ECMO sahaja harganya sekitar $4,000 sehingga $5,000 sehari. Itu mesin sahaja, belum dicampur dengan ubat-ubatnya,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka yang dirawat di dalam unit rawatan rapi yang mempunyai dialisis, angka $100,000 sebulan adalah normal.

Unit tambahan Pusat Pengasingan Kebangsaan yang ditempatkan di hospital Tutong sudah pun siap dan penyerahan diharap dapat dibuat dalam masa terdekat.