NEW YORK, 29 SEPT – United Airlines akan memberhentikan kira-kira 600 pekerja yang enggan mematuhi syarat keperluan vaksinasi COVID-19, kata pegawai syarikat itu semalam.
Pegawai itu berkata, selain 593 pekerja yang enggan divaksin, 2,000 pekerja lagi meminta pengecualian terhadap keperluan vaksinasi atas faktor perubatan atau agama.
Secara keseluruhan, ia membabitkan tiga peratus daripada 67,000 pekerja. Syarikat penerbangan itu menyatakan mereka gembira dengan kesan dari polisi berkenaan.
Awal Ogos lalu, United mengumumkan kesemua pekerja di Amerika Syarikat (AS) perlu menerima vaksin dan memuat naik kad vaksin dalam sistem syarikat. Lebih 99 peratus pekerja di AS mematuhi peraturan itu, berdasarkan satu memo kepada pekerja dari Ketua Eksekutif United, Scott Kirby dan Presidennya, Brett Hart.
Ketika ini, syarikat itu sedang berusaha untuk memperkenalkan polisi terhadap mereka yang memohon pengecualian, berdasarkan kes mahkamah berhubung perkara itu.
“Ini adalah kejayaan bersejarah untuk syarikat penerbangan serta pekerja termasuklah kepada pelanggan dan komuniti perkhidmatan kami.
“Rasional kami menetapkan vaksin kepada pekerja United di AS adalah mudah – untuk memastikan orang kami selamat – dan kebenarannya adalah, semua orang selamat apabila semua divaksinasi dan keperluan vaksinasi berfungsi,” menurut memo berkenaan. Kata United lagi, mereka akan mengikut keperluan yang dipersetujui oleh persatuan pekerja termasuklah mereka yang enggan divaksinasi. – AFP