Sunday, December 15, 2024
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    United akan berjuang habis-habisan menentang City – Amorim

    LONDON, 15 DIS – Ruben Amorim berkata Manchester United akan ‘berjuang habis-habisan’ untuk menang menentang Manchester City yang sedang hambar untuk memulihkan prestasi mengejutkan United dalam Liga Perdana.

    Jurulatih Portugis itu sedang bersiap sedia untuk derby pertamanya sejak tiba di Old Trafford bulan lalu bila mana kedua-dua pasukan amat memerlukan kemenangan.

    United yang di tempat ke-13 dalam liga hanya menang sekali dalam empat perlawanan liga sejak Amorim bertugas.

    Sementara City kendalian Pep Guardiola hanya memperoleh satu kemenangan dalam 10 perlawanan dalam semua pertandingan tetapi masih berada lapan mata di hadapan pesaing mereka dalam liga.

    United teruja dengan kebangkitan semula dalam Liga Europa 2-1 Khamis lalu menentang Viktoria Plzen tetapi mereka sangat perlu mengubah prestasi mereka dalam liga.

    “Saya sentiasa ternanti-nanti untuk melatih Manchester United, terutamanya dalam perlawanan derby tetapi kami perlu beri tumpuan yang banyak,” kata pengurus United, Amorim kepada MUTV.

    “Kami memberi tumpuan kepada peningkatan dari hari ke hari, dan kami mahu melihat perkara yang berbeza.

    “Saya rasa kami melakukan kerja yang baik pada separuh masa pertama semasa bertemu Arsenal, jadi kami mempunyai keupayaan dan pemain untuk melakukannya dan kami akan cuba melakukannya sekali lagi dan cuba memenangi perlawanan.”

    Amorim berkata adalah penting untuk mencipta budaya kemenangan selepas kejayaan pertengahan minggu lalu apabila mereka bangkit daripada ketinggalan satu gol, hasil dua jaringan daripada Rasmus Hojlund.

    “Awda tidak (terlalu) terbawa-bawa tentang kemenangan. Kami sepatutnya menang permainan seperti yang kami hadapi Khamis lalu. Jadi sekarang kami akan ke perlawanan lain yang kami perlu menang,” katanya.

    “Kami tewas dua kali dalam liga. Kami perlu mempunyai perasaan untuk menang dan kami akan bersedia. Sudah tentu, kami tahu banyak yang perlu diperbaiki. Banyak perkara telah berubah di sini tetapi kami akan berjuang untuk menang.”

    Sebelum ini, United telah kalah beberapa kali di Stadium Etihad dengan kekalahan 4-1, 6-3 dan 3-1 selepas kemenangan terakhir di sana pada Mac 2021.

    Guardiola pula berada di tempoh paling sukar sejak mengambil alih tugas pada 2016 tetapi Amorim berkata dia tidak akan terganggu dengan masalah City.

    “Saya sangat menghormati City tetapi saya hanya fokus kepada United,” kata Amorim yang juga telah mengalahkan City 4-1 bulan lalu dalam perlawanan terakhirnya sebagai bos Sporting.

    “Sudah tentu kami perlu ada strategi, kami perlu memahami lawan, tetapi fokus saya hanya United. Kami hanya mahu meningkat dan menang,” ujarnya. – AFP

    Reaksi Ruben Amorim semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Arsenal dan Manchester United di stadium Emirates di London pada 4 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda