MANCHESTER, 21 APRIL – Ruben Amorim mengakui Manchester United ‘banyak kekurangan’ selepas ditewaskan Wolves 1-0 di Old Trafford.
Kemunculan semula United yang dramatik untuk menang 5-4 dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Europa menentang Lyon pada Khamis lalu telah cuba menutup banyak keretakan dalam pasukan yang sedang merosot di tempat ke-14 dalam Liga Perdana.
Tetapi bos United, Amorim amat menyedari isu yang melanda mereka sepanjang kempen domestik yang hambar.
Masalah utama mereka ialah kurang menyerlah dalam perlawanan liga dan penyerang Denmark, Rasmus Hojlund dan rakan penyerangnya tidak dapat menjaringkan gol sebelum sepakan percuma Pablo Sarabia memastikan tiga mata penuh untuk Wolves.
Wolves meraikan kemenangan kelima berturut-turut di liga utama buat kali pertama sejak 1970. Sementara, Amorim hanya memenangi enam daripada 22 perlawanan liganya sejak menggantikan Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu.
Kekecewaan jurulatih Portugal itu jelas selepas kekalahan ke-15 United musim ini menjadi satu rekod buruk kelab dalam era Liga Perdana.
“Jika awda melihat perlawanan, kami adalah pasukan yang lebih baik tetapi akhirnya ia memberi apa-apa makna,” katanya.
“Jika tiada jaringan gol, tiada apa yang bermakna kerana pada akhirnya keputusanlah yang penting, terutama dalam detik-detik sebegini.
“Kami mencipta banyak peluang, kami mengawal permainan. Kami menyekat beberapa pemain yang bagus daripada pihak lawan dan kemudian dengan hanya satu set-piece telah mengubah permainan dan itu sahaja. Ia benar-benar mengecewakan untuk menamatkan permainan seperti ini.
“Kami perlu berkata benar kepada penyokong: kami kekurangan banyak perkara dalam pasukan kami, kami terlepas peluang, jika kami tidak menjaringkan gol, kami tidak akan menang.
“Banyak yang perlu kami lakukan dan fokus dalam menambah baik pasukan selangkah demi selangkah dan memahami bahawa sehingga akhir liga ia akan menjadi seperti ini dan kami perlu melakukan sesuatu.” – AFP
