Monday, July 28, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    United benam West Ham di AS

    NEW YORK, 27 JULAI – Bruno Fernandes menjaringkan dua gol ketika Manchester United memulakan jelajah pramusim mereka di Amerika Syarikat (AS) dengan kemenangan 2-1 ke atas West Ham dalam kejohanan Premier League Summer Series di New Jersey, kelmarin.

    Kapten United itu mengambil peluang daripada dua kesilapan penjaga gol antarabangsa Perancis, Alphonse Areola, untuk memastikan kemenangan skuad kendalian Ruben Amorim dalam cuaca panas terik di Stadium MetLife.

    Areola dipersalahkan atas kedua-dua gol United, dan walaupun Jarrod Bowen berjaya merapatkan jurang untuk West Ham, kelab London itu gagal memberikan ancaman serius kepada juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu.

    Fernandes membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 menerusi sepakan penalti, selepas Areola melakukan kesilapan dengan menolak Ayden Heaven ke tanah setelah kehilangan kawalan bola. Fernandes dengan tenang menewaskan Areola yang tersilap itu.

    United menggandakan kedudukan pada minit ke-52 apabila Areola sekali lagi melakukan kesilapan dengan hantaran cuai dari kawasan sendiri yang singgah tepat kepada Kobbie Mainoo di luar kotak penalti. Mainoo melorongkan bola kepada Fernandes yang kemudian menyempurnakan penyudah bijak dengan menghantar bola melepasi Areola yang tertewas.

    Manchester United berjaya membenam West Ham United melalui dua jaringan gol Bruno Fernandes dalam aksi perlawanan pramusim Premier League Summes Series di Stadium MetLife, Amerika Syarikat. – AFP
    Bruno Fernandes ketika menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut. – AFP

    Bowen merapatkan kedudukan pada minit ke-63 menerusi satu penyudah kemas, dan turut menguji penjaga gol gantian Altay Bayindir pada masa kecederaan, namun United berjaya mengekalkan kelebihan hingga wisel penamat.

    “Memang bagus untuk menang, walaupun hanya aksi persahabatan kami mahu manfaatkan setiap perlawanan sebaik mungkin untuk persiapan musim ini,” kata Fernandes kepada NBC Sports selepas perlawanan.

    “Secara keseluruhan permainan ini baik. Kami menguasai bola dengan baik. Ada beberapa saat kami tergesa-gesa dan sepatutnya mengekalkan penguasaan lebih lama. Itu antara perkara yang perlu kami baiki tetapi secara keseluruhan ia satu perlawanan yang sangat positif buat kami.”

    Pemain baharu United bernilai AS$87 juta, Bryan Mbeumo, turut bersama pasukan ke AS, namun tidak tersenarai dalam skuad perlawanan kali ini. Mbeumo dijangka membuat penampilan sulung ketika United menentang Bournemouth dalam perlawanan kedua kejohanan empat pasukan ini di Chicago pada Rabu.

    Sementara itu, Bournemouth memulakan kempen mereka dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Everton dalam perlawanan terdahulu di lokasi yang sama.

    Gol-gol daripada Philip Billing, Dango Outtara dan Daniel Adu-Adjei memastikan kemenangan mudah buat skuad bimbingan Andoni Iraola. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda