MANCHESTER, 15 NOV – Manchester United mungkin terpaksa beraksi tanpa Rasmus Hojlund dalam perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Galatasaray, manakala Christian Eriksen akan diketepikan selama sebulan selepas mengalami kecederaan sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Red Devils.
Walaupun Hojlund telah menyumbang lima gol dalam empat penampilan Liga Juara-Juara bersama kelab itu, United berada di ambang penyingkiran menjelang kunjungan mereka ke Istanbul pada 29 November depan.
United berharap pemain berusia 20 tahun itu akan kembali sebelum akhir bulan ini selepas mengalami ketegangan otot pada minit akhir perlawanan selepas menang 1-0 ke atas Luton Sabtu lalu.
Eriksen terpaksa diganti awal dalam permainan yang sama dan akan diketepikan lebih lama kerana masalah lutut.
Kedua-dua pemain telah menarik diri daripada skuad Denmark untuk dua perlawanan terakhir kelayakan Euro 2024 menentang Slovenia dan Ireland Utara.
Peserta separuh akhir di Euro 2020, Denmark memerlukan maksimum dua mata untuk memastikan kelayakan ke Jerman tahun depan.
“Christian mengalami kecederaan lutut yang akan menyebabkan dia tidak dapat bermain selama kira-kira sebulan, manakala penyerang Rasmus mengalami ketegangan otot. Diharap dia akan kembali sebelum akhir November,” kata United dalam satu kenyataan kelmarin. – AFP
