MANCHESTER, 31 DIS – Bos Manchester United, Ruben Amorim berkata pasukan gergasi Inggeris itu dalam pertempuran untuk meneruskan kelangsungan dalam Liga Perdana selepas dikalahkan Newcastle 2-0 di Old Trafford.
Kekalahan tersebut adalah yang keempat berturut-turut ke atas pasukan tuan rumah.
Hanya dua bulan dalam tempoh perkhidmatannya, Amorim mengakui minggu ini bahawa tugasnya adalah dalam bahaya melainkan keputusan mula bertambah baik.
Jurulatih dari Portugis itu hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan liga pertamanya menyebabkan United tersungkur di tangga ke-14, hanya tujuh mata di atas zon penyingkiran.
“Itu benar-benar jelas, jadi kami perlu berjuang,” kata Amorim mengenai United yang diheret ke dalam ambang penyingkiran.
“Ia adalah saat yang sangat sukar, salah satu detik yang paling sukar dalam sejarah Manchester United dan kami perlu menanganinya dengan jujur.”
Alexander Isak dan Joelinton menjaringkan gol Newcastle dalam 19 minit pertama ketika kemenangan kelima berturut-turut mengangkat Magpies ke tangga kelima.
Amorim terkejut dengan apa yang dia saksikan pada separuh masa pertama apabila Newcastle menewaskan pasukan tuan rumah dengan mudah.
“Mereka adalah pasukan yang lebih baik dan mereka bermula dengan sangat kuat,” tambah Amorim.
“Apabila kami bolos, ia benar-benar sukar untuk pulih kerana semua kerugian yang kami alami sebelum ini dan kami tidak mempunyai asas kerja di sebalik untuk menghadapi saat-saat sukar.”
Seawal tiga minit permainan apabila Isak diberi ruang di dalam kawasan gol untuk menanduk masuk hantaran lintang Lewis Hall menghasilkan gol.
United amat merindui kehadiran kapten Bruno Fernandes yang digantung tugas ketika tiga pemain tengah Newcastle Sandro Tonali, Bruno Guimaraes dan Joelinton bermain di sekeliling gandingan Casemiro dan Christian Eriksen dengan mudah.
Newcastle menambah lagi jaringan apabila Joelinton menerpa masuk menyambut hantaran lintang Anthony Gordon.
Amorim bertindak balas dengan menggantikan Joshua Zirkzee dengan Kobbie Mainoo selepas hanya 33 minit – satu gerakan disambut dengan sorakan oleh penonton Old Trafford yang kecewa.
Bagaimanapun, United mempunyai peluang untuk kembali melawan sebelum rehat apabila Rasmus Hojlund dan Casemiro hanya gagal mencapai sasaran.
Marcus Rashford pula dimasukkan ke dalam skuad United buat kali pertama selepas lima perlawanan tetapi kekal di bangku simpanan selama 90 minit penuh ketika Amorim beralih kepada Alejandro Garnacho untuk membuat perubahan.
Tetapi pemain antarabangsa Argentina itu gagal membawa perubahan setelah Newcastle mula mengawal perlawanan sekali lagi.
Kekalahan liga di tempat sendiri yang ketiga berturut-turut sejak 1979 adalah yang terbaru dalam senarai buruk statistik menandakan dekad kemerosotan United.
Apa yang menakutkan Amorim ialah kekalahan diteruskan ke 2025 ditambah lagi pertemuan menakutkan dengan pendahulu liga, Liverpool pada Ahad disusuli Arsenal dalam pusingan ketiga Piala FA. – AFP