Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    United, Chelsea hanya seri 1-1

    MANCHESTER, 4 NOV – Minggu bergelora untuk Manchester United berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Chelsea dan statistik yang tidak diingini itu menunjukkan bahawa kelab membuat permulaan liga terburuk selama hampir 40 tahun.

    Tendangan voli jarak jauh Moises Caicedo yang menakjubkan memastikan satu mata untuk Chelsea dan meninggalkan United dengan 12 mata yang menurut Opta, pembekal statistik Liga Perdana, adalah yang terendah selepas 10 perlawanan sejak musim 1986-87.

    Peminat United berharap keadaan akan menjadi semakin baik selepas Erik ten Hag yang dipecat minggu ini dan digantikan oleh Ruben Amorim.

    “Setiap kali awda melihat pengurus pergi, awda perlu menyalahkan diri sendiri kerana pasukan tidak melakukannya dengan baik,” kata kapten United, Bruno Fernandes kelmarin. “Saya bercakap dengan pengurus (Ten Hag) dan meminta maaf kepadanya. Saya kecewa dia telah pergi dan saya cuba membantunya.”

    United mendahului daripada sepakan penalti Fernandes pada minit ke-70 tetapi di hadapan Olivia Rodrigo yang memerhati, jaringan Caicedo dari tepi kotak penalti empat minit kemudian memastikan mata dikongsi bersama.

    “Saya rasa kami melakukan perkara yang paling sukar menentang United di stadium ini. Kami tewas pada mulanya tetapi kami kembali serta-merta,” kata ketua jurulatih Chelsea, Enzo Maresca.

    Chelsea naik ke tangga keempat dalam kedudukan, di hadapan Arsenal dengan perbezaan gol, manakala United enam mata di belakang di tangga ke-13 dan perlu bergelut untuk kelayakan Liga Juara-Juara.

    “Saya kecewa kami tidak menang, kami mempunyai peluang yang lebih baik dalam permainan tetapi secara keseluruhan persembahan adalah hebat. Mereka melakukan segala-galanya di atas padang,” kata Van Nistelrooy.

    Van Nistelrooy memegang tampuk pemerintahan sementara dan mempunyai dua perlawanan – menentang PAOK Salonika dalam Liga Europa dan Leicester dalam liga – sehingga ketibaan jurulatih baharu, Amorim pada 11 November.

    “Kami akan menyokongnya (Amorim) dan membantu mereka membawa Manchester United ke tempat yang kami mahu,” kata Van Nistelrooy. – AP

    Caption: Moises Caicedo meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol menentang Manchester United di stadium Old Trafford di Manchester, England kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda