LYON, 11 APRIL – Penjaga gol Manchester United, Andre Onana, mengalami malam yang ingin dilupakan apabila dua kesilapan besar membolehkan Lyon mencuri keputusan seri 2-2 dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Europa semalam.
Penjaga gol antarabangsa Cameroon itu membenarkan sepakan percuma lemah Thiago Almada melepasi kawalannya, hanya sehari selepas beliau digelar ‘salah seorang penjaga gol terburuk’ dalam sejarah United oleh bekas pemain tengah kelab itu, Nemanja Matic, yang kini beraksi bersama Lyon.
Pertahanan remaja, Leny Yoro, menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama dan tandukan Joshua Zirkzee pada minit ke-88 kelihatan seolah-olah memastikan kemenangan untuk United di Stadium Groupama.
Namun, Onana gagal menangkap rembatan rendah Georges Mikautadze pada masa kecederaan, dan Rayan Cherki pantas menyudahkan bola muntah untuk menyamakan kedudukan, menyebabkan kedudukan agregat masih terbuka menjelang perlawanan timbal balik di Old Trafford minggu hadapan.
Pengurus United, Ruben Amorim, pantas mempertahankan Onana dan mengalihkan tumpuan kepada aksi kedua.
“Kesilapan boleh berlaku. Jika anda bermain bola sepak dan kami bermain banyak perlawanan, anda boleh melakukan kesilapan,” katanya. “Tiada apa yang boleh saya katakan kepada Andre pada ketika ini yang dapat membantu.”
“Kami ada satu lagi perlawanan untuk mengubah segala-galanya dan itu seharusnya menjadi fokus kami,” tambahnya.
Keupayaan United untuk membina semula skuad yang kini berisiko mencatatkan pencapaian terburuk dalam saingan liga utama sejak penyingkiran pada tahun 1974 mungkin bergantung pada kejayaan melayakkan diri ke Liga Juara-juara.
Memenangi Liga Europa merupakan satu-satunya jalan bagi mereka untuk layak ke pertandingan elit itu. Kegagalan berbuat demikian dijangka akan menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya AS$127.6 juta kepada United, dalam keadaan kewangan kelab yang sudah pun sempit. – AFP
