LONDON, 28 OGOS – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata pasukannya ‘hilang arah sepenuhnya’ semasa tersingkir daripada Piala Liga apabila mengalami kekalahan memalukan di tangan kelab divisyen keempat, Grimsby, semalam.
Grimsby, menang menerusi penentuan sepakan penalti yang panjang 12-11 selepas perlawanan berakhir seri 2-2.
Selepas separuh masa pertama yang mengecewakan, United ketinggalan 2-0 hasil jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren.
Bryan Mbeumo mencetuskan kebangkitan lewat buat The Red Devils dengan gol pertamanya untuk kelab sebelum tandukan Harry Maguire memaksa perlawanan ke penentuan penalti.
Namun, selepas Matheus Cunha gagal menyempurnakan peluang untuk menamatkan perlawanan, Mbeumo pula menyepak bola ke palang pada sepakan penentuan.
“Saya rasa pasukan terbaik menang, satu-satunya pasukan yang benar-benar berada di atas padang,” kata Amorim dalam kritikan pedas terhadap skuadnya. “Satu pasukan boleh menang menentang mana-mana kumpulan pemain.
“Cara kami memulakan perlawanan tanpa sebarang intensiti… Kami hilang arah sepenuhnya dan itu sebabnya saya rasa mereka (pemain) memberi isyarat yang sangat jelas.”
Amorim sudah berdepan tekanan selepas permulaan hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. – AFP


