LONDON, 28 OGOS – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berkata pasukannya telah ‘tewas sepenuhnya’ apabila tersingkir Piala Liga kepada pasukan divisyen keempat Grimsby kelmarin..
Pasukan Liga Dua Grimsby memenangi penentuan penalti maraton 12-11 selepas seri 2-2 sekali gus menjadikan kekalahan yang memalukan kepada United dan menambah tekanan kepada Amorim.
Selepas separuh masa pertama yang menyedihkan, United ketinggalan 2-0 dengan jaringan Charles Vernam dan Tyrell Warren.
Bryan Mbeumo menyelamatkan Red Devils dengan gol pertamanya untuk kelab itu sebelum tandukan Harry Maguire memaksa penentuan sepakan penalti.
Tetapi selepas Matheus Cunha terlepas peluang untuk memenangi perlawanan, Mbeumo pula terkena palang dengan sepakan penalti yang memberi keputusan akhir.
“Saya rasa pasukan yang terbaik menang, satu-satunya pasukan yang berada di atas padang,” kata Amorim dalam kritikan pedas terhadap skuadnya. “Kami bermula tanpa sebarang intensiti. Kami benar-benar tewas dan itulah sebabnya saya fikir mereka (pemain) telah menunjukkannya.”
Amorim sudah pun menghadapi tekanan selepas memulakan musim tanpa kemenangan dalam Liga Perdana.
Juara Inggeris 20 kali itu menduduki tempat ke-15 musim lalu dalam kempen liga terburuk mereka sejak tersingkir pada 1974.
Kini satu daripada dua sasaran trofi musim ini telah hilang dan menjadikan salah satu keputusan terburuk dalam sejarah kelab.
Benjamin Sesko membuat permulaan pertamanya di United selepas perpindahan £74 juta dari RB Leipzig ($99 juta), manakala Andre Onana kembali beraksi.
Grimsby pula telah menunggu United sejak 1948 dan menyorak kuat setelah mendahului dua gol pada separuh masa pertama.
Vernam membuat jaringan rendah melepasi Onana pada minit ke-22 untuk menggembirakan 9,000 penonton di Blundell Park sebelum ditambah jaringan Warren.
Malam suram Onana mungkin mempercepatkan perpindahan United yang dikhabarkan untuk mendapatkan penjaga gol Belgium, Senne Lammens pada hari-hari terakhir jendela perpindahan.
Di sebalik penguasaan United pada babak kedua, mereka kekurangan inspirasi sehingga Mbeumo membidik dan melencong ke sudut bawah dari luar kotak.
Maguire telah dipaksa ke hadapan sebagai penyerang sementara telah mencipta detik besar pada minit ke-89 dengan menanduk masuk sepakan sudut Mason Mount.
Selepas 15 sepakan penalti termasuk daripada kedua-dua penjaga gol, percubaan Mbeumo pula terkena palang untuk menutup peluang United. – AFP


