United gigit jari, Blues jumpa Gunners di final Piala FA

LONDON, 20 JULAI – Chelsea mara ke final Piala FA ketika penjaga gol Manchester United, David De Gea membuat kecuaian besar dalam kemenangan 3-1 the Blues ke atas United pada perlawanan semalam.

Pasukan Frank Lampard akan bertemu Arsenal di perlawanan final pada 1 Ogos.

Mimpi buruk yang mengerikan bagi De Gea semalam, pemain Sepanyol itu melakukan kesilapan ketika dia terlepas rembatan oleh Olivier Giroud di atas garisan gawangnya pada minit-minit akhir separuh masa pertama perlawanan di Wembley.

Namun, De Gea membuat kesilapan yang lebih teruk lagi ketika dia membiarkan tendangan dari Mason Mount untuk percubaannya yang lemah.

Chelsea adalah pasukan yang lebih baik ketika mereka mara ke final Piala FA untuk pertama kalinya sejak kali terakhir menjulang trofi pada tahun 2018.

Aksi penjaga gol Manchester United, David de Gea ketika melakukan kesilapan dan gagal menghentikan jaringan oleh Olivier Giroud semasa perlawanan separuh akhir Piala FA antara Chelsea dan Manchester United di Stadium Wembley, London. – AP

Jaringan sendiri Harry Maguire adalah pengakhiran yang menghambarkan buat United, yang kalah buat pertama kalinya dalam 20 perlawanan mereka di semua pertandingan walaupun diberikan sepakan penalti yang dijaringkan oleh Bruno Fernandes.

United sebelum ini telah berjaya mengalahkan Chelsea tiga kali pada musim ini, dengan dua kemenangan di Liga Perdana Inggeris dan satu lagi di Piala Liga.

Tetapi Lampard, yang pernah memenangi Piala FA empat kali sebagai pemain, merasa cukup gembira setelah semakin dekat untuk memenangi trofi pertamanya pada musim ini sebagai pengurus Chelsea.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer telah mengadu bahawa Chelsea mempunyai rehat dua hari lebih banyak daripada pasukannya sebelum perlawanan separuh akhir tersebut, tetapi mempertaruhkan untuk mengetepikan Paul Pogba, Anthony Martial dan Mason Greenwood di bangku simpanan.

United kelihatan ketinggalan di belakang Chelsea, apabila pasukan Blues mengatur dan mengawal perlawanan dengan baik walaupun ketiadaan pemain sayap mereka, Christian Pulisic yang cedera. Chelsea seharusnya berada di depan lebih awal ketika Marcos Alonso melakukan percubaan baik melalui hantaran lintang Cesar Azpilicueta namun terkena tiang gol.

Insiden lucu berlaku pada perlawanan semalam ketika Eric Bailly cedera parah setelah bertembung dengan rakan sepasukannya Maguire pada separuh masa pertama manakala Solskjaer cuba melakukan perubahan apabila menurunkan Martial sebagai rancangan tambahan di posisi serangan, namun gagal menemukan kemenangan. – AFP