Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    United gugurkan status kapten Maguire

    MANCHESTER, ENGLAND, 17 JULAI – Manchester United telah mengumumkan bahawa Harry Maguire tidak lagi menjadi kapten pasukan itu selepas perbincangan bersama pengurus, Erik ten Hag.

    Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Ten Hag bersedia untuk menggugurkan peranan kapten yang disandang Maguire selepas penampilan pemain pertahannya itu terhad di bawah pengurusan Ten Hag musim lalu.

    Maguire menulis di Twitter semalam: “Selepas perbincangan dengan pengurus hari ini, beliau memberitahu saya bahawa beliau akan menukar kapten. Beliau telah mengetengahkan alasan beliau kepada saya dan walaupun saya secara peribadi berasa sangat kecewa, saya akan terus memberikan segalanya setiap kali memakai jersi ini. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Manchester United atas sokongan cemerlang mereka sepanjang saya memegang peranan sebagai kapten.”

    Pemain pertahanan tengah itu hanya membuat lapan penampilan sebagai pemain utama dalam Liga Perdana musim lalu, yang menyebabkan spekulasi berterusan mengenai masa depannya di Old Trafford.

    “Sejak saya mengambil alih peranan ini, tiga setengah tahun lalu, adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk memimpin Manchester United dan salah satu momen yang paling dibanggakan dalam kerjaya saya sehingga kini,” kata Maguire.

    “Saya mengucapkan yang terbaik untuk segalanya kepada sesiapa sahaja yang mengambil alih peranan ini dan mereka akan mendapat sokongan penuh daripada saya,” tambahnya.

    Dalam ketiadaan Maguire bersama pasukan itu musim lalu, Bruno Fernandes lebih kerap dilantik sebagai kapten dan dijangka pemain tengah Portugal itu akan diberikan peranan kapten secara kekal. – AP

    Harry Maguire berjalan keluar padang selepas perlawanan suku akhir pertama Liga Europa di stadium Old Trafford di Manchester, pada 13 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda