MANCHESTER, 19 SEPT – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag (gambar-AP) mula merasakan tekanan daripada penyokong yang kecewa selepas permulaan musim yang buruk telah menjadikan harapan untuk meraih kejuaraan Liga Perdana nampak suram.
Buat pertama kali dalam era Liga Perdana, United telah tewas tiga daripada lima perlawanan pembukaan mereka dan berdepan tugas berat untuk membuka kempen Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, esok.
Ten Hag telah terhindar daripada kritikan pada awal musim ini kerana penyokong menumpukan kemarahan mereka terhadap beberapa isu di luar padang.
Walaupun peminat mahu melihat mereka pergi, keluarga Glazer nampaknya telah menangguhkan proses penjualan kelab.
Pemain sayap Brazil, Antony telah diberi cuti untuk menangani tuduhan penderaan domestik yang dibuat oleh bekas teman wanitanya.
Sementara itu, United memutuskan bahawa Mason Greenwood tidak mempunyai masa depan di Old Trafford bulan lalu walaupun tuduhan penderaan terhadap pemain berusia 21 tahun itu digugurkan.
Ten Hag disanjungi kerana membawa United kembali ke Liga Juara-Juara dengan menduduki tempat ketiga dalam Liga Perdana musim lalu dan menamatkan kemarau trofi enam tahun kelab itu dengan memenangi Piala Liga.
Bagaimanapun, dia menjadi sasaran ejekan apabila dia menggantikan pemain baharu, Rasmus Hojlund pada pertengahan separuh kedua dalam kekalahan 3-1 di tempat sendiri kepada Brighton pada Sabtu. – AFP


