MANCHESTER, 1 Nov – Manchester United menghampiri peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas menerima ‘kemurahan hati’ penjaga gol Benfica, Mile Svilar sekali lagi dalam memberikan kemenangan 2-0 awal pagi tadi.
Setelah membawa masuk sepakan percuma Marcus Rashford ke dalam gawangnya sendiri bagi memberikan United kemenangan dalam perlawanan sebelum ini, Svilar, 18, secara tidak sengaja menjaringkan gol sendiri apabila rembatan Nemanja Matic yang terkena tiang melantun masuk terkena tangannya.
Daley Blind melengkapkan kemenangan dengan penalti pada minit ke-78, tetapi CSKA Moscow menewaskan Basel dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, United hanya memerlukan satu mata daripada dua baki perlawanan mereka untuk memastikan kemaraan mereka.
“Kami mesti mendapatkan mata itu daripada baki dua perlawanan,” kata pengurus United, Jose Mourinho.
“Saya sangat gembira. Kami menjaringkan dua gol, tidak bolos, mendapat tiga mata, lebih banyak wang untuk kelab kerana setiap kemenangan bermakna wang dan tidak mengalami kecederaan serius.
Skuad kendalian Rui Vitoria, Benfica kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas lima kekalahan berturut-turut, paling teruk dalam sejarah kelab, dan hanya mempunyai peluang tipis untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Pasukan saya menunjukkan personaliti yang luar biasa. Kami bermain menentang salah sebuah pasukan terbaik Eropah,” kata Vitoria.
“Masih ada baki dua perlawanan. Dengan enam mata anda boleh pergi ke Liga Europa, kekal dalam Liga Juara-Juara atau tangan kosong.”
Dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan, United kini mempunyai kelebihan enam mata di puncak kumpulan dan hanya keajaiban kecil yang menghalang mereka daripada mara ke peringkat seterusnya buat pertama kali sejak musim 2013-2014. – AFP