MANCHESTER, 9 MEI – Manchester United mungkin dipisahkan 90 minit sahaja lagi daripada layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas kemenangan agregat 7-1 ke atas Athletic Bilbao mencipta pertemuan final Liga Europa menentang Tottenham.
Walaupun hambar, skuad kendalian Ruben Amorim berjaya mempertahankan kelebihan 3-0 pada aksi pertama, sebelum mencatat kemenangan 4-1 dalam aksi kedua separuh akhir di Old Trafford.
Namun, keputusan itu disifatkan tidak mencerminkan kesukaran sebenar perlawanan apabila United ketinggalan pada separuh masa pertama hasil jaringan menarik Mikel Jauregizar, sebelum melakukan tiga pertukaran yang mengubah rentak permainan.
Pemain gantian Mason Mount menjaringkan dua gol sementara Amad Dialo mencetus huru-hara di sayap kanan.
Dua lagi gol dijaringkan oleh Casemiro dan Rasmus Hojlund, yang melengkapkan malam gemilang buat United.

“Saya fikir jika awda lihat kedua-dua perlawanan, ia terlalu sukar berbanding keputusan yang awda lihat,” kata Amorim.
“Kami mempunyai terlalu banyak kelemahan dan awda boleh faham dalam perlawanan itu, tetapi kami berjuang dan berjaya melepasinya. Saya fikir kami berhak untuk berada di final.”
Pada perlawanan akhir, United akan berdepan Tottenham, yang menyingkirkan juara Norway, Bodo/Glimt 5-1 secara agregat.
Amorim, pengganti Erik ten Hag yang dipecat pada November lalu, mengakui pertembungan di Bilbao hujung bulan ini akan menjadi perlawanan terbesar buatnya di kelab itu setakat ini.
United menuju penamat terburuk dalam liga utama Inggeris sejak mereka tersingkir pada tahun 1974, sekalipun mereka tidak akan turun kali ini.
Tetapi di Eropah ia telah menjadi cerita yang sangat berbeza, di mana mereka adalah satu-satunya pasukan yang tidak tewas dalam Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Liga Konferens. – AFP