Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    United jumpa Saints di Wembley

    KINGSTON UPON HULL, 27 Jan – Manchester United terselamat daripada satu kejutan untuk sampai ke final Piala Liga selepas jaringan lewat Oumar Niasse telah memberikan Hull City kemenangan 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua awal pagi tadi.

    Mempunyai kelebihan 2-0 daripada separuh akhir pertama, United telah menyaksikan kelebihan mereka dikurangkan pada minit ke-35 di Stadium KCOM menerusi sepakan penalti Tom Huddlestone, namun kemudian kelebihan berjaya dikembalikan di separuh masa kedua hasil jaringan Paul Pogba.

    Jaringan Niasse telah memberikan debaran hujung perlawanan bagi skuad Jose Mourinho, tetapi akhirnya mereka terselamat dengan kelebihan agregat 3-2 yang sekali gus menemukan mereka dengan Southampton bagi aksi final di Wembley pada 26 Februari.

    “Saya hanya mahu katakan tahniah kepada para pemain saya,” kata Mourinho, yang jelas kelihatan tidak berpuas hati dengan sepakan penalti Hull.

    “Ia adalah perjalanan sukar menuju ke final dan kini kami berjaya sampai ke final.”

    Pemain termahal Manchester United, Paul Pogba (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Piala Liga menentang Hull City di Stadium KCOM. - AP
    Pemain termahal Manchester United, Paul Pogba (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam aksi Piala Liga menentang Hull City di Stadium KCOM. – AP

    Ia akan menjadi final Piala Liga pertama United sejak 2010, apabila mereka menewaskan Aston Villa 2-1, dan dengan Southampton menyingkirkan Liverpool daripada laluan mereka, United kini memasuki perlawanan itu sebagai pasukan pilihan.

    Hull sekali lagi menunjukkan perkembangan mereka di bawah kendalian jurulatih baru, Marco Silva, dan boleh berpuas hari dengan kemenangan pertama ke atas United sejak kejayaan 2-0 di Boothferry Park pada November 1974.

    Kelab tersebut juga menggunakan perlawanan itu bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Ryan Mason, yang menjalani pemulihan di hospital selepas mengalami retak tulang kepala di Chelsea, dengan memakai baju ‘T’ bertulis namanya dan seminit tepukan.

    “Ia adalah kemenangan yang baik, tetapi tidak mencukupi untuk mencapai sasaran kami,” kata Silva.

    “Saya telah mengucapkan tahniah kepada para pemain di bilik persalinan.”

    Kehadiran penyokong tuan rumah yang tidak seberapa mungkin disebabkan tandukan di hujung perlawanan Marouane Fellaini yang telah memberikan United kelebihan dalam separuh akhir pertama dan pertelagahan berterusan terhadap pemilik Hull, Assem Allam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda