United kekal di tangga ke-5

LONDON, 17 JULAI – Manchester United berjaya menewaskan Crystal Palace 2-0 untuk terus memberi tekanan kepada Leicester dalam persaingan merebut kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), manakala Leicester menewaskan Sheffield United pada perlawanan semalam.

Kemenangan kelima United dalam enam perlawanan terakhir liga mereka namun masih kekal berada di tangga kelima EPL.

United berkongsi mata dengan Leicester yang berada di tangga keempat, hanya ketinggalan perbezaan gol dan satu mata berada di belakang Chelsea di tempat ketiga.

Dengan implikasi kewangan berikutan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pasti menyakitkan bagi United, pasukan Solskjaer akan berada di bawah tekanan dalam dua perlawanan terakhir liga mereka musim ini.

Selepas separuh akhir Piala FA pada perlawanan Ahad ini menentang Chelsea, United akan menjadi tuan rumah menentang West Ham pada perlawanan seterusnya Rabu depan sebelum perlawanan yang menentukan kedudukan empat teratas menentang Leicester pada 26 Julai.

Aksi Marcus Rashford ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Crystal Palace dan Manchester United di Stadium Selhurst Park, London, semalam. – AFP

United juga dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan jika sekiranya mereka memenangi Liga Europa, yang akan dilanjutkan semula pada bulan Ogos.

Rashford memecahkan kebuntuan di minit-minit akhir separuh masa pertama ketika penyerang England itu dengan bijak melepasi dua pemain pertahanan Palace dan melakukan rembatan dari jarak dekat.

Palace merasa kecewa setelah mereka seharusnya diberi sepakan penalti beberapa saat sebelumnya ketika Wilfried Zaha dijatuhkan oleh Victor Lindelof.

Pengadil Graham Scott menyingkirkan aduan itu dan VAR tidak mengubah keputusan, dengan tayangan ulangan menunjukkan Lindelof mendapat sedikit sentuhan pada bola.

Palace sekali lagi kecewa pada separuh masa kedua ketika jaringan Jordan Ayew dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.

Martial memastikan kemenangan ke atas Palace pada minit ke-78 dengan penyudah yang klinikal. – AFP