LONDON, 31 Mei – Manchester United dinilai sebagai kelab paling berharga di Eropah berdasarkan laporan baru yang dikeluarkan oleh firma perkhidmatan profesional, KPMG.
Laporan daripada KPMG itu telah menilai 39 kelab berdasarkan sudut populariti mereka di saluran media sosial, pendapatan untuk musim 2014-15 dan 2015-16 dan kejayaan di persaingan Eropah.
Kelab-kelab itu kemudiannya disenaraikan berdasarkan nilai perusahaan, ukuran perakaunan yang digunakan untuk menilai kos bagi pembelian kelab ataupun syarikat yang mana membabitkan hutang keseluruhan perniagaan, dengan KPMG mempunyai formulanya tersendiri bagi mencapai penilaian berkenaan.
Walaupun mengharungi dua musim mengecewakan antara 2014 dan 2016, sebaliknya nilai United melonjak mengatasi Real Madrid dan Barcelona tahun lalu, dan menjadi kelab pertama yang memecah penanda aras tiga bilion euro (2.7 bilion pound, AS$3.4 bilion) bagi nilai perusahaan.
Bayern Munich kekal berada di tangga keempat, manakala Manchester City mengatasi Arsenal untuk menduduki tangga kelima dengan kedua-dua pasukan mempunyai nilai perusahaan di bawah 1.7 bilion pound.

Chelsea, Liverpool, Juventus dan Spurs melengkapkan empat kedudukan seterusnya, sekali gus menyaksikan enam daripada 10 pasukan teratas adalah dari Liga Perdana Inggeris.
Dalam satu kenyataan, Ketua Sukan Global KPMG, Andrea Sartori berkata: “Nilai agregat kelab bola sepak terkemuka di Eropah menunjukkan bahawa nilai keseluruhan bola sepak, sebagai sebuah industri, sudah berkembang.
“Walaupun ia dijelaskan berdasarkan ledakan penyiaran bola sepak, aspek operasi komersial antarabangsa kelab, pelaburan mereka dalam menyediakan kemudahan milik persendirian dan moden dan amalan pengurusan keseluruhan yang lebih mapan juga menjadi antara punca utama kepada pertumbuhan ini.
“Daripada sudut nilai hak media, Liga Perdana Inggeris berada dalam kedudukan selesa di puncak liga Eropah, meskipun liga utama yang lain sudah pun menggariskan strategi jelas untuk bersaing menarik perhatian peminat global.” – AFP