Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    United kembali ke empat teratas

    MANCHESTER, 6 APRIL – Marcus Rashford menghantar Manchester United kembali ke empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 1-0 ke atas Brentford kelmarin.

    Red Devils kini mendahului tiga mata di depan Tottenham dengan kelebihan satu perlawanan dalam perebutan tempat ke Liga Juara-juara musim depan.

    United telah tergelincir ke tangga kelima selepas tiga perlawanan liga tanpa kemenangan dan komitmen piala yang bermakna mereka tidak mencatatkan sebarang kemenangan dalam EPL sejak pertengahan Februari.

    Anak buah Erik ten Hag juga ingin membalas dendam terhadap Bees selepas kekalahan memalukan 4-0 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada Ogos.

    Jurulatih Belanda itu mengkritik sikap dan keinginan pemainnya yang kalah 2-0 kepada Newcastle baru-baru ini, dan akhirnya mendapat respons yang diinginkannya.

    Aksi Ethan Pinnock (kiri) bersaing dengan Rashford semasa perlawanan antara Brentford dan Manchester United di Old Trafford, England, baru-baru ini. – AFP

    “Mudah-mudahan kami dapat membinanya dan kembali ke tempat kami beberapa minggu lalu,” kata Rashford. “Semua orang faham bahawa kami tidak akan bermain sepenuh potensi kami setiap minggu, tetapi kami perlu mengekalkan tahap prestasi kami.”

    Rashford bermula di posisi tengah apabila kesabaran ten Hag terhadap Wout Weghorst akhirnya kehabisan dan keputusan itu membuahkan hasil apabila pemain antarabangsa England itu ditempatkan dengan sempurna untuk menewaskan Marcel Sabitzer bagi menjaringkan gol ke-28 pada musim ini.

    Brentford hanya kalah satu daripada 16 perlawanan Liga Perdana sebelum ini untuk naik ke tangga kesembilan dalam jadual.

    Anak-anak buah Thomas Frank hampir tidak memberikan sebarang ancaman serangan untuk sejam pertama tetapi hampir dihadiahkan gol penyamaan apabila Ivan Toney merembat bola ke gawang David de Gea namun sepakan tersebut sedikit tersasar.

    De Gea menebus kesalahannya apabila dia menghalang Kevin Schade dengan satu-satunya gol Brentford yang jelas.

    “Kami mahu bermain sebagai jentera dan tidak melakukan kesilapan,” kata ten Hag. “Kami melakukan satu kesilapan dan bersyukur mereka tidak mendapat manfaat daripadanya. Ini adalah kemenangan besar”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda