United kempunan 3 mata

WOLVERHAMPTON, 20 OGOS – Manchester United terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Wolves selepas penalti Paul Pogba diselamatkan oleh Rui Patricio di Molineux awal pagi tadi.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menjaringkan gol pembukaan menerusi jaringan kedua Anthony Martial dalam saingan Liga Perdana musim ini pada separuh masa pertama.

Ruben Neves kemudian meledakkan jaringan penyamaan buat Wolves selepas rehat sebelum bintang Perancis Paul Pogba dinafikan oleh Patricio.

Ia adalah keputusan yang menghairankan untuk Pogba mengambil penalti itu setelah Marcus Rashford menjaringkan penalti hujung minggu lepas dalam kemenangan 4-0 ke atas Chelsea dan juga setelah menyempurnakan penalti dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara ketika menentang Paris Saint-Germain musim lepas.

Pogba kini sudah terlepas empat penalti Liga Perdana sejak musim lepas.

United pastinya berada di puncak sekiranya meraih kemenangan tetapi kini terpaksa melihat semula persembahan tidak konsisten mereka, membuktikan bahawa masih banyak yang perlu diusahakan oleh Solskjaer untuk menjadikan pasukannya pesaing gelaran. – AFP

Reaksi terkejut dan kecewa Pogba selepas menyaksikan penaltinya dinafikan oleh penjaga gol Wolves. – AP