Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    United mara ke suku akhir Piala FA

    LONDON, 2 MAC – Alejandro Garnacho dan Fred menjaringkan gol lewat ketika Manchester United bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan West Ham 3-1 dan mara ke suku akhir Piala FA kelmarin.

    Manchester United, yang membuat enam pertukaran kepada pasukan yang memulakan kemenangan akhir Piala Liga Ahad lalu menentang Newcastle, kurang menyengat di hadapan penonton Old Trafford.

    Penjaga gol United, David de Gea menggagalkan percubaan Michail Antonio apabila penyerang West Ham itu cuba membolosi gawang pada pertengahan babak pembukaan.

    Pengurus United, Erik ten Hag memasukan Casemiro untuk menggantikan Scott McTominay pada separuh masa tetapi pasukan tuan rumah kekal memberikan aksi yang kurang memberangsangkan.

    United dibolosi pada minit ke-54 dengan jaringan Benrahma melepasi De Gea selepas pertahanan tuan rumah berhenti, menganggap bola telah terkeluar untuk lontaran ke dalam.

    Reaksi Alejandro Garnacho (kiri) selepas menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak pusingan kelima Piala FA Inggeris di stadium Old Trafford di Manchester, England. – AP

    Gol itu mendorong Ten Hag memperkenalkan penjaring terbanyak Marcus Rashford tetapi Antonio mempunyai peluang gemilang untuk menggandakan pendahuluan West Ham, namun dinafikan sekali lagi oleh De Gea.

    Casemiro menjaringkan gol pada minit ke-72 tetapi tandukannya daripada sepakan percuma Bruno Fernandes telah diketepikan disebabkan ofsaid berikutan semakan VAR.

    United akhirnya menyamakan kedudukan lima minit kemudian apabila Fernandes menghantar bola menerusi sepakan sudut dan Nayef Aguerd menanduk masuk ke gawang sendiri.

    Skuad tuan rumah masih berada di tahap yang tinggi selepas menamatkan kemarau trofi enam tahun mereka pada hujung minggu dan bergerak ke hadapan untuk mencari pemenang.

    Mereka mendapat ganjaran apabila pemain remaja Argentina, Garnacho menghasilkan rembatan kaki kanan yang padu pada minit ke-90 untuk memberikan United pendahuluan diikuti dengan jaringan Fred pada masa kecederaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda