KINGDOM, 31 DIS – Musim menyedihkan Manchester United mencapai tahap terendah baharu apabila mereka tewas 2-1 di tangan pasukan yang bergelut dalam Liga Perdana, Nottingham Forest, kelmarin.
Pasukan Erik ten Hag mempamerkan aksi teruk yang dihukum oleh gol lewat Morgan Gibbs-White di City Ground.
Nicolas Dominguez telah meletakkan Forest di hadapan pada separuh masa kedua sebelum Marcus Rashford menyamakan kedudukan dengan hanya gol ketiganya dalam kempen yang menyedihkan itu.
Kekalahan keempat United dalam enam perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan menyebabkan mereka merosot di tempat ketujuh Liga Perdana, sembilan mata di belakang empat teratas.
Usaha gemilang United untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Aston Villa 3-2 pada Selasa telah dianggap sebagai permulaan era baharu hanya beberapa hari selepas pelaburan Jim Ratcliffe dalam kelab yang bermasalah itu.

Jutawan Britain, Ratcliffe membeli 25 peratus kepentingan dalam United pada harga sekitar £1.03 bilion pada malam Krismas.
Kumpulan INEOS milik Ratcliffe akan mengambil alih operasi bola sepak United daripada pemilik yang tidak popular iaitu keluarga Glazer.
Tetapi di sebalik dakwaan Ten Hag pada Jumaat bahawa Ratcliffe mahu bekerjasama dengannya, ia merupakan bukti terbaharu bahawa pihak pentadbiran baharu mungkin mempertimbangkan untuk memecat jurulatih Belanda yang sedang dibelenggu pelbagai masalah itu.
Ketua sukan INEOS, Dave Brailsford menyaksikan bersama bekas bos kelab itu, Alex Ferguson di City Ground ketika United ditewaskan oleh Forest buat kali pertama sejak 1994.
Ten Hag perlu mengawasi peningkatan signifikan dalam keputusan dan presembahan United untuk mengelakkan daripada dipecat. – AFP