CHICAGO, 12 April – Ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan dilanda masalah, United Airlines secara jelas memohon maaf hari ini bagi insiden yang mana seorang penumpang diheret keluar dari sebuah pesawat, menjanjikan satu kajian semula amalan syarikat itu.
Permohonan maaf itu dibuat di tengah-tengah kritikan demi kritikan ke atas tindakan syarikat itu pada penerbangan Ahad dan penjelasan awalnya.
Dalam imej yang kini boleh dilihat di seluruh dunia, seorang penumpang dipaksa dikeluarkan dari pesawat dan dalam proses itu, dia kelihatan berlumuran berdarah – seluruh peristiwa dirakamkan dalam video dan gambar oleh para penumpang dan ditularkan dalam media sosial.
Penumpang David Dao, 69, menolak untuk ‘dikeluarkan’ daripada pesawat yang terlebih tempahan – satu amalan syarikat penerbangan yang kini semakin diteliti.
“Saya terus terganggu dengan apa yang berlaku dalam pesawat ini dan saya memohon maaf kepada pelanggan yang dipaksa keluar dan kepada semua pelanggan di dalam pesawat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif United Airlines, Oscar Munoz.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya dan akan membetulkan keadaan,” tambahnya.
Kenyataan terbaru Munoz itu bertentangan dengan kenyataan syarikat berkenaan sebelum ini, yang kelihatan menyalahkan penumpang berkenaan, mencetuskan kemarahan dari seluruh dunia. “Kakitangan kami mengikuti prosedur yang ditetapkan untuk berurusan dengan situasi seperti ini,” kata Munoz sebelum ini.
Beliau berkata, syarikat akan menjalankan ‘kajian semula menyeluruh’ prosedurnya, termasuk bagaimana ‘mereka menangani situasi terlebih tempahan’ dan bagaimana syarikat itu bergabung dengan pihak berkuasa lapangan terbang dan penguat kuasa undang-undang.
Dia berikrar akan mengeluarkan keputusan kajian menjelang 30 April.
Namun kerosakan perhubungan awam sudah pun berlaku, dengan seruan untuk boikot manakala Jabatan Pengangkutan AS berjanji untuk mengkaji tindakan syarikat pe-nerbangan itu.
Malah Rumah Putih turut mempertimbangkan perkara itu. “Apabila anda menyaksikan video, ia agak terganggu melihat bagaimana ia dikendalikan,” kata Setiausaha Media Rumah Putih, Sean Spicer.
Kejadian itu telah menyebabkan saham United Airlines menjunam ke bawah 2.9 peratus, dan ditutup pada 1.1 peratus. – AFP