Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    United mudah atasi Leicester

    MANCHESTER, 11 NOV – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes membuat penampilan ke-250nya untuk kelab itu dengan bergaya, menjaringkan gol yang menakjubkan dalam kemenangan 3-0 menentang Leicester kelmarin.

    Pemain antarabangsa Portugal itu, yang dihadiahkan jersi yang dibingkaikan sebelum perlawanan bermula dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, memanfaatkan hantaran Amad Diallo dan melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Leicester, Mads Hermansen pada minit ke-17.

    Ia mencetuskan sorakan yang gemuruh daripada penyokong tuan rumah, yang melaungkan ‘Bruno’ ketika Fernandes diraikan oleh rakan sepasukannya.

    Fernandes kini menjaringkan 83 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai United dari Sporting Lisbon pada 2020.

    Pemain itu menyangka dia berjaya mencatat gol ke-84 pada minit ke-38 melalui rembatan yang terkena pemain Leicester, Victor Kristiansen tetapi ia dianggap sebagai gol sendiri.
    Pemain gantian, Alejandro Garnacho menjaringkan gol ketiga United pada minit ke-82 dengan satu lagi rembatan jarak jauh yang menerjah ke sudut atas gawang.

    Perlawanan itu adalah aksi terakhir United sebelum ketua jurulatih baharu Ruben Amorim mengambil alih tugas hari ini.

    Ketua jurulatih sementara, Ruud van Nistelrooy, berharap untuk meneruskan rekod tanpa kalah sepanjang tempoh singkat beliau selepas bekas pengurus, Erik ten Hag, dipecat bulan lalu.

    United telah memenangi dua perlawanan dan seri sekali daripada tiga perlawanan sebelum ini di bawah bimbingan Van Nistelrooy. – AP

    Reaksi Garnacho (kanan) selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris pada 10 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda