LONDON, 28 Mac – Manchester United telah melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus kekal kelab itu dengan kontrak tiga tahun hari ini, susulan beberapa keputusan menakjubkan sejak mengendalikan kelab itu.
Warga Norway itu telah memberikan inspirasi kepada kebangkitan nasib United sejak mengambil alih daripada Jose Mourinho, yang dipecat pada Disember, dengan memenangi 14 daripada 19 perlawanan di bawah kendaliannya dan meneraju Man United ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Solskjaer, yang telah menjaringkan 126 gol dalam 366 penampilan bersama United, memang merupakan wira penyokong semasa dia menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan di final Liga Juara-Juara 1999 bagi melengkapkan tiga gelaran berganda.
“Dari hari pertama saya tiba, saya merasakan seolah-olah pulang ke rumah di kelab yang istimewa ini,” kata Solskjaer dalam satu kenyataan pada laman sesawang kelab.
“Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi pemain Manchester United dan kemudian memulakan kerjaya kejurulatihan saya di sini.
“Beberapa bulan kebelakangan ini adalah pengalaman luar biasa dan saya mahu berterima kasih kepada semua jurulatih, pemain dan kakitangan atas kerja yang telah kami lakukan setakat ini.
“Ini adalah tugas yang saya selalu impikan dan saya terlalu teruja kerana berpeluang untuk menerajui kelab ini dalam jangka masa panjang serta berharap memberikan kejayaan berterusan kepada penyokong kami yang luar biasa.”
Naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward berkata, “Lebih daripada hanya prestasi dan keputusan, Ole membawa banyak pengalaman, sebagai pemain dan jurulatih, digandingkan dengan keazaman untuk memberikan pemain-pemain muda peluang serta mempunyai kefahaman mendalam mengenai budaya kelab ini.” – AFP
