LONDON, 6 FEB – Manchester United hari ini mengesahkan bahawa pemain pertahanan Lisandro Martinez mengalami kecederaan ligamen krusiat di lutut kirinya semasa kekalahan pasukannya kepada Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.
Pemain antarabangsa Argentina berusia 27 tahun itu dibawa keluar di atas pengusung pada akhir perlawanan di Old Trafford selepas lututnya terkilir.
“Manchester United mengesahkan bahawa Lisandro Martinez mengalami kecederaan ligamen krusiat dalam perlawanan pada Ahad menentang Crystal Palace,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
“Penilaian terhadap kecederaan ini sedang dijalankan untuk menentukan rawatan yang sesuai dan tempoh pemulihannya.
“Semua di Manchester United mendoakan kekuatan buat Lisandro Martinez untuk pemulihan yang berjaya dan kami akan menyokongnya sepanjang tempoh ini.”
Pengurus United, Ruben Amorim berkata selepas perlawanan dia berpendapat ia merupakan ‘situasi yang serius’, sambil menambah, “Licha sangat penting buat pasukan kami, bukan hanya sebagai pemain bola sepak tetapi juga kerana wataknya, terutama dalam saat yang sukar ini.”
Keputusan itu meninggalkan pasukan Amorim di tempat ke-13 dalam Liga Perdana Inggeris, yang akan menjadi tuan rumah kepada Leicester dalam Piala FA pada Jumaat.
United menandatangani pemain kiri Patrick Dorgu dari Lecce semasa tingkap perpindahan pada Januari, tetapi timbul keraguan baharu mengenai tahap kecergasan pertahanan Luke Shaw, yang belum memulakan sebarang perlawanan untuk United dalam tempoh hampir 12 bulan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P22-4_07022025.jpg)