LIVERPOOL, 20 OKT – Liverpool tewas lagi untuk kali keempat berturut-turut buat kali pertama dalam 11 tahun setelah tumpas 2-1 kepada Manchester United kelmarin sekali gus tamatkan penantian United mencatat kemenangan di Anfield.
Tandukan Harry Maguire pada minit ke-84 memastikan kemenangan berturut-turut Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh Ruben Amorim sebagai bos United.
Sebelum itu, dalam masa 12 minit, Cody Gakpo telah menyamakan kedudukan daripada gol pembukaan Bryan Mbeumo pada minit kedua permainan bermula.
Kekalahan menjadikan Liverpool empat mata di belakang Arsenal yang berada di puncak sementara United naik ke tangga kesembilan dan mengurangkan tekanan ke atas Amorim.
“Ia bermakna segala-galanya. Mereka lebih baik daripada kami sejak beberapa tahun lalu dan ini tidak bagus untuk kelab kami,” kata Maguire.”Kami sudah lama tidak memberi yang cukup kepada penyokong seperti hari ini, jadi (kami) datang dan kutip tiga mata.”
Liverpool hanya kalah satu daripada 14 pertemuan bertemu United dalam liga dan United tidak pernah menang di Anfield sejak kendalian Jurgen Klopp pada Januari 2016.
Bagaimanapun, The Reds kelihatan tidak stabil selepas mengubah skuad yang merangkul kejuaraan musim lalu dan mengalami kekalahan berturut-turut menunjukkan permulaan liga Liverpool yang buruk.
Mbeumo memecut melepasi Virgil van Dijk sebelum merembat melepasi Giorgi Mamardashvili setelah menerima hantaran Amad Diallo selepas hampir seminit permainan bermula.
Gakpo sepatutnya menyamakan kedudukan tetapi percubaannya terkena tiang sementara Bruno Fernandes turut terlepas peluang menggandakan pendahuluan setelah percubaannya juga terkena tiang.
Senne Lammens berjaya menyelamatkan gawang menafikan gol pertama Alexander Isak dalam Liga Perdana sejak menyertai Liverpool dengan rekod perpindahan Britain £125 juta.
Salah yang biasanya berbisa, tetapi nampaknya kurang menjadi kali ini apabila percubaannya tersasar.
Jentera serangan Liverpool akhirnya berjaya mengubah kedudukan apabila Federico Chiesa, yang menggantikan Isak, melakukan hantaran silang rendah yang disempurnakan Gakpo dari jarak dekat.
Namun, kelemahan pertahanan Liverpool menghukum mereka apabila hanya enam minit kemudian Maguire dibiarkan tanpa kawalan menanduk masuk hantaran lintang Fernandes.
Liverpool mengalami kekalahan liga pertama mereka di Anfield dalam tempoh lebih setahun menjadikan satu lagi ancaman kepada harapan mereka untuk memburu kejuaraan liga. – AFP


