Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    United sedia tandatangani Yoro

    LONDON, 18 JULAI – Manchester United bersedia untuk menandatangani pemain pertahanan muda Lille, Leny Yoro, dengan bayaran £52 juta (AS$69 juta), menurut laporan, kelmarin.

    Pemain berusia 18 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Eropah, Real Madrid, tetapi dia dipercayai telah pergi ke England kelmarin untuk menjalani pemeriksaan perubatan dengan kelab Liga Perdana itu.

    United dilaporkan akan membayar £52.7 juta sebagai yuran permulaan, dengan tambahan bernilai £6.7 juta.

    Yoro, yang membuat penampilan sulung di Lille pada usia 16 tahun, telah disenaraikan sebagai salah seorang pemain muda terbaik di Eropah.

    Dia akan menjadi pemain kedua United yang ditandatangani selepas kedatangan penyerang Belanda Joshua Zirkzee dari Bologna hujung minggu lalu.

    Pengurus United, Erik ten Hag berminat untuk mendapatkan bek tengah baharu selepas bekas bintang Real Madrid, Raphael Varane meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim lalu.

    Varane dan Lisandro Martinez adalah bek tengah United dalam kemenangan final Piala FA mereka ke atas Manchester City Mei lalu, apabila Harry Maguire terlepas perlawanan kerana kecederaan yang menyebabkan dia tidak dapat beraksi di Euro 2024.

    Ten Hag telah menyasarkan pertahanan Belanda dan Bayern Munich, Matthijs de Ligt, dan difahamkan tawaran itu telah ditolak termasuk pemain Everton, Jarrad Branthwaite. – AFP

    Gambar bertarikh 12 November 2023 menunjukkan reaksi Yoro selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak L1 Perancis antara Lille OSC dan Toulouse FC di Stade Pierre-Mauroy di Villeneuve-d’Ascq, utara Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda