BIRMINGHAM, 7 OKT – Kemaraan tanpa kemenangan Manchester United menjangkau lima perlawanan dalam keputusan seri 0-0 di Aston Villa kelmarin nampaknya tidak mengurangkan tekanan ke atas Erik ten Hag.
Percubaan Bruno Fernandes terkena palang dengan usaha terbaik daripada kedua-dua pasukan daripada sepakan percuma separuh masa kedua tetapi United kini gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana mereka.
Satu mata menyebabkan anak buah Ten Hag turun di tangga ke-14, setelah memenangi hanya dua daripada tujuh perlawanan pembukaan liga musim ini.
“Kami tahu pada masa ini kami mempunyai kekurangan gol,” kata Ten Hag.
“Dalam perspektif itu ia bukan permulaan yang baik, kami perlu meningkatkannya. Itu adalah bidang yang perlu kami perbaiki.”
Villa pula di tempat kelima terlepas peluang untuk naik ke atas kerana mereka tidak dapat mengulangi kepahlawanan mereka menewaskan Bayern Munich pada pertengahan minggu lalu.
Kedua-dua pasukan menunjukkan tanda-tanda keletihan kerana perlawanan kelihatan hambar.
“Kami kehilangan sedikit tenaga, tetapi saya gembira kerana keputusan seri bukanlah keputusan terburuk,” kata bos Villa, Unai Emery.
“Pada separuh masa kedua kami membetulkan beberapa perkara untuk mengawal perlawanan.”
Pemain antarabangsa England, Rashford meluru ke dalam memaksa Emi Martinez menghalang percubaannya pada separuh masa pertama dengan rembatan kencang selepas lima minit.
Morgan Rogers juga membuat percubaan tetapi tersasar sementara pertahanan United yang dibentuk semula bertahan dengan sedikit masalah sehingga rehat.
Ten Hag terpaksa melakukan rombakan pertahanan yang lain pada separuh masa ketika Maguire dan Noussair Mazraoui dipaksa keluar kerana cedera ketika De Ligt dan Victor Lindelof dibawa masuk.
Rashford memaksa Martinez melakukan satu lagi tepisan yang baik dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Rashford telah dilayangkan kad kuning apabila dia menjatuhkan Leon Bailey dan segera digantikan oleh Ten Hag untuk mengelak United dibuang padang untuk perlawanan ketiga berturut-turut.
Kad merah Fernandes ketika menentang Tottenham telah dibatalkan untuk membolehkannya bermain dan kapten United itu hampir menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma tetapi terkena palang.
Emery beralih kepada pemain gantian Villa, Jhon Duran setelah pemain Colombia menjaringkan lima gol musim ini tetapi dia juga tidak dapat menghidupkan prestasi Villa yang lembap.
Dalam tempoh rehat antarabangsa selama dua minggu akan datang, pengurusan United mungkin memutuskan nasib Ten Hag. – AFP