Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    United, Spurs ambil peluang dalam Liga Eropah

    PARIS, 24 SEPT – Manchester United dan Tottenham memulakan kempen Liga Eropah mereka minggu ini, berharap untuk melupakan permulaan mengecewakan dalam musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

    United kendalian Erik Ten Hag gagal mempamerkan sebarang peningkatan daripada musim buruk sebelum ini, berada di luar kelompok 10 teratas dalam liga domestik dengan hanya tujuh mata selepas lima perlawanan.

    Pengurus dari Belanda itu berjaya mengekalkan jawatannya sekalipun meraih penamat terburuk tangga kelapan dalam EPL musim lalu, semuanya kerana kejayaan mengejut menjuarai Piala FA mengatasi City pada perlawanan akhir.

    United berbelanja besar dalam pasaran perpindahan, namun usaha mereka untuk mengubah nasib di atas padang masih belum terlaksana menjelang perlawanan pembukaan Liga Europa di laman sendiri menentang Twente, esok.

    Keputusan seri tanpa jaringan di Crystal Palace hujung minggu lalu melenyapkan beberapa kesan positif yang diraih daripada kemenangan 3-0 ke atas Southampon dan membenam Barnsley dalam Piala Liga, tetapi Ten Hag menegaskan pasukannya tetap meningkat.

    United kembali ke Liga Europa yang dirombak semula selepas kempen Liga Juara-Juara yang teruk musim lalu apabila juara Eropah tiga kali itu berakhir di tangga tercorot kumpulan mereka.

    Jika gagal menang menentang kelab Belanda, Twente, yang kembali ke pertandingan itu buat kali pertama sejak tahun 2012, dalam perlawanan pertama daripada lapan aksi di peringkat liga, pasti memberi tekanan kepada Ten Hag dan pemainnya.

    Perasaan tidak puas hati juga mula memuncak dalam kalangan peminat Tottenham buat kali pertama sejak permulaan mereka yang memukau di bawah kendalian Ange Postecoglou 12 bulan lalu.

    Kemenangan 3-1 ke atas Brentford pada hujung minggu sekurang-kurangnya membantu mereka bangkit daripada kekalahan berturut-turut EPL di tangan Newcastle dan musuh tempatan Arsenal. – AFP

    Aksi pemain pertahanan United, Lisandro Martinez, semasa perlawanan bola sepak EPL antara Crystal Palace dan United di Selhurst Park pada 21 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda