MANCHESTER, 8 NOV – Manchester United meraih kemenangan pertamanya di Eropah selama lebih setahun setelah menewaskan PAOK 2-0 dalam Liga Europa kelmarin.
Dua gol pada separuh masa kedua daripada Amad Diallo mengesahkan kemenangan di Old Trafford dan meningkatkan harapan United untuk mara dalam pertandingan itu, sementara rekod sempurna Tottenham berakhir dengan kekalahan 3-2 di Galatasaray.
Kemenangan terakhir United di Eropah ialah menentang Copenhagen dalam Liga Juara-juara pada 24 Oktober tahun lalu.
“Kami membincangkan perkara itu di dalam bilik persalinan dan sudah tiba masanya untuk mengubahnya, jadi kami melakukannya,” kata ketua jurulatih sementara United, Ruud van Nistelrooy.
Tandukan Diallo menewaskan penjaga gol PAOK, Dominik Kotarski pada minit ke-50 dan gol keduanya menyusul dengan rembatan melencong dari luar kotak penalti yang masuk di sudut bawah gawang pada minit ke-77.
Ia merupakan dua kemenangan daripada tiga perlawanan untuk United di bawah kendalian Van Nistelrooy, yang mempunyai satu lagi perlawanan menentang Leicester pada Ahad sebelum menyerahkan tugas kepada Ruben Amorim.
Tidak jelas sama ada akan ada peranan untuk pengurus Belanda itu selepas pemerintahan sementaranya, tetapi dia melakukan apa yang dia mampu untuk memastikan United berada dalam kedudukan terbaik apabila Amorim mengambil alih.
Erik ten Hag dipecat minggu lalu selepas permulaan kempen yang buruk yang menyebabkan pasukan itu berada di tempat ke-14 Liga Perdana Inggeris dan tanpa kemenangan dalam pertandingan kedua Eropah, Liga Europa.
Amorim segera dilantik sebagai pengganti, tetapi Van Nistelrooy ditugaskan untuk mengisi kekosongan sementara pengurus Portugal itu menyelesaikan tempoh notis di Sporting Lisbon. – AP