LONDON, 20 JULAI – Manchester United dilaporkan telah bersetuju untuk menandatangani pemain sayap Cameroon, Bryan Mbeumo, dari Brentford dalam satu perjanjian bernilai 65 juta pound (AS$87 juta) sebagai bayaran asas, ketika Ruben Amorim mempercepatkan usaha untuk merombak barisan serangan pasukan yang tumpul musim lalu.
Mbeumo menarik perhatian Amorim selepas menjaringkan 20 gol dalam 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Brentford musim lalu.
Tottenham, yang kini dikendalikan bekas pengurus Brentford, Thomas Frank turut memburu pemain berusia 25 tahun itu, namun tawaran baharu daripada United berjaya memeterai perjanjian selepas dua bidaan terdahulu ditolak.
United juga akan membayar tambahan sebanyak 6 juta pound kepada Brentford dalam bentuk klausa prestasi.
Mbeumo dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat bagi membolehkannya menyertai pasukan ke Amerika Syarikat pada Selasa untuk jelajah pramusim.

Dia bakal menjadi pemain ketiga yang ditandatangani United sejak tamat musim lalu, selepas penyerang Wolves, Matheus Cunha, dan pertahanan remaja Paraguay, Diego Leon, tiba di Old Trafford.
Amorim memang berazam untuk memperbaharui pilihan di barisan hadapan United selepas musim yang mengecewakan.
Mereka tewas 1-0 kepada Tottenham dalam final Liga Europa dan menamatkan saingan liga di tangga ke-15 – kedudukan terburuk sejak musim 1973-1974.
Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee gagal menyinar sebagai penyerang utama di bawah Amorim musim lalu.
Amorim turut dilaporkan telah memaklumkan Alejandro Garnacho supaya mencari kelab baharu, manakala Marcus Rashford dan Jadon Sancho dijangka meninggalkan kelab selepas masing-masing menjalani tempoh pinjaman di Aston Villa dan Chelsea.
Mbeumo bakal menjadi pembelian terkini Amorim dalam usahanya menghidupkan semula pasukan United yang semakin lesu. – AFP