MIHTARLAM, AFGHANISTAN, 2 FEB – Beberapa universiti awam dibuka di Afghanistan buat pertama kali hari ini sejak Taliban melakukan rampasan kuasa pada Ogos tahun lalu, bagaimanapun, hanya segelintir wanita menghadiri sesi kuliah yang pegawai katakan akan diasingkan mengikut jantina.
Kebanyakan sekolah menengah untuk remaja perempuan dan semua universiti awam ditutup apabila kumpulan itu kembali mengambil alih pentadbiran Afghanistan, mencetuskan kebimbangan golongan wanita akan sekali lagi disekat daripada sektor pendidikan, seperti yang berlaku ketika pemerintahan pertama Taliban dari 1996 hingga 2001.
“Ini detik yang amat menggembirakan bagi kami kerana kuliah sudah bermula,” kata Zarlashta Haqmal, penuntut jurusan undang-undang dan sains politik di Universiti Nangarhar kepada AFP.
“Bagaimanapun kami masih bimbang Taliban mungkin menghentikannya,” katanya.
Seorang penganalisis berkata pembukaan semula universiti itu merupakan ‘penanda penting’ kepada Taliban dalam laluan kepada pengiktirafan antarabangsa.
Pihak berkuasa berkata, kebanyakan universiti di wilayah Laghman, Nangarhar, Kandahar, Nimroz, Farah dan Helmand dibuka hari ini.
Lebih banyak universiti dijadualkan beroperasi semula di lokasi lain pada penghujung bulan ini.
Tinjauan koresponden AFP mendapati sekumpulan kecil wanita mengenakan burka memasuki Universiti Laghman awal pagi tadi manakala pasukan tentera Taliban dilihat mengawal pintu masuk universiti itu. – AFP
