PEKAN – Dengan penuh keyakinan yang tinggi dan bakal menjadi pusat kecemerlangan automotif di rantau ini, Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (Universiti DRB-HICOM) bersedia untuk melahirkan graduan-graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri automotif.
Berpegang teguh kepada dasar “Sebuah Universiti oleh Industri, untuk Industri,” Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Omar Osman berkata universiti ini sedang berusaha ke arah mengembangkan bakat-bakat yang bukan sahaja bersinar dalam bidang akademik, tetapi juga bersemangat dan bermotivasi.
“Mereka tidak semestinya pelajar cemerlang semua A, tetapi yang benar-benar berminat untuk memilih bidang kerjaya yang disediakan oleh pihak universiti. Kami ingin melahirkan bakat-bakat yang mempunyai pengalaman tidak ternilai dari syarikat-syarikat kumpulan DRB-HICOM dan bersedia untuk bekerja sebaik sahaja menamatkan program mereka,” katanya.
Universiti automotif serantau
Universiti DRB-HICOM bermula sebagai Kolej Automotif Antarabangsa Malaysia (ICAM) pada April 2010, sebelum dinaik taraf menjadi universiti sepenuhnya pada 2016. Universiti ini kini telah berkembang dan menawarkan program-program menjangkau bidang di luar automotif manakala ia terus berkembang dan bertapak dalam industri berkenaan.

Ia adalah satu-satunya universiti di rantau ini yang menawarkan program ijazah sarjana muda, sarjana, dan program-program kedoktoran berkaitan ekosistem automotif, serta kajian pengurusan termasuk kursus kewangan dan perakaunan.
Kini, Universiti DRB-HICOM menawarkan 24 program yang diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) termasuk diploma dan ijazah sarjana. Kampus universiti dibina di atas tanah seluas 18.5 hektar dan terletak bersebelahan Kompleks Automotif DRB-HICOM di bandar diraja Pekan, Pahang.
Melahirkan pelajar janaan industri
Memandangkan kampus ini terletak berhampiran hab industri automotif yang sibuk, para pelajar didedahkan lebih awal kepada industri dan mempunyai banyak peluang untuk belajar daripada pengalaman sendiri.
“Kami mahu dedahkan pelajar lebih awal kepada industri, dan tidak mahu tunggu sehingga mereka lulus. Oleh itu, aktiviti industri di sekitar kampus ini sangat berguna kepada kami, bukan sekadar pembelajaran dalaman, malah luaran kerana ia mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar,” kata Omar.
Beliau berkata anak syarikat DRB-Hicom juga menyokong universiti dengan menyumbang pelbagai kenderaan seperti kereta, lori dan kenderaan pangangkutan untuk tujuan pembelajaran. Kebanyakan syarikat berkenaan juga mengambil pelajar untuk tujuan latihan.
“Perkara utama adalah kami mahu menjadi sebahagian daripada TN50, pembangunan belia masa hadapan, dan untuk memenuhi permintaan industri terutamanya sektor automotif dan perkhidmatan yang menggunakan teknologi,” tambah beliau.
Omar berkata, bagi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan terkini mengenai teknologi automotif canggih seperti kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hijau (mesra alam), universiti berkenaan bekerja rapat dengan syarikat-syarikat kumpulan DRB.
Syarikat-syarikat, termasuk dalam pembuatan, perkhidmatan, logistik pengangkutan, serta pengangkutan penerbangan, masing-masing maju ke arah teknologi masa hadapan, oleh itu mampu menyediakan sumber dan keperluan university. “Bagi saya, pembangunan bakat Malaysia perlu berlandaskan asas-asas bagaimana generasi muda bakal mendepani pelbagai kemajuan, perubahan dan teknologi. “Oleh itu, kami berusaha memastikan kurikulum merangkumi pelbagai aspek teknologi-teknologi baharu, supaya pelajar kami tidak ketinggalan,” katanya.
Faktor Asyraff
Walaupun antara yang terbaharu dalam kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini, Universiti DRB-HICOM bukanlah sembarangan. Baru-baru ini pelajar ijazah pertama, Muhammad Asyraff Yusni memenangi Anugerah Gangsa dalam kategori World Skill Competition in the Automobile Technology.
Pertandingan yang dianjurkan dua kali setahun dan diadakan di Abu Dhabi, Dubai, itu menyaksikan pelajar berusia 22 tahun itu mengalahkan 35 peserta yang lebih berpengalaman dari seluruh dunia, dalam lapan ujian sukar untuk menyelesaikan isu berkaitan kereta selama empat hari.
Berasal dari Puchong, beliau bukan sahaja di uji berdasarkan pengetahuannya, tetapi juga keupayaannya untuk mengurus masa dan berkomunikasi secara berkesan dalam menjelaskan diagnosisnya kepada pemeriksa. Sebelum pertandingan itu yang diadakan pada awal Oktober tahun ini, Muhammad Asyraff juga memenangi Emas dalam WorldSkills Malaysia, selain dalam ASEAN Skills Competition untuk kategori sama tahun lepas.
Pencapaian itu meningkatkan imej universiti ketika merayakan ulang tahun kedua pada November tahun ini dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain agar terus cemerlang.
“Muhammad Asyraff dipilih untuk mewakili universiti, bukan sahaja kerana kemahirannya, malah kerana ketekunan dan disiplin diri.”
“Dalam usaha melahirkan pakar-pakar bertaraf dunia, kami perlu mulakan dengan memupuk sifat-sifat yang dia (Muhammad Asyraff) miliki kepada pelajar lain,” kata Omar. – Bernama