Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Universiti Harvard saman Trump susulan pemotongan dana

    WASHINGTON, 22 APRIL – Universiti Harvard menyaman pentadbiran Trump kelmarin selepas kerajaan persekutuan membatalkan pembiayaan lebih AS$2 bilion untuk universiti elit itu, lapor Anadolu Ajansi.

    “Sepanjang minggu lalu, kerajaan persekutuan telah mengambil beberapa tindakan berikutan keengganan Harvard untuk mematuhi tuntutan haramnya,” kata Presiden Alan Garber dalam satu kenyataan.

    “Sebentar tadi, kami telah memfailkan tuntutan mahkamah untuk menghentikan pembekuan pembiayaan kerana ia menyalahi undang-undang dan di luar kuasa kerajaan,” tambah Garber.

    Menurut tuntutan mahkamah itu, pentadbiran Trump dituduh ‘menyalahi undang-undang’ kerana ia melanggar hak Pindaan Pertama, serta undang-undang dan peraturan persekutuan.

    “Kerajaan menggunakan ancaman menahan dana persekutuan dalam usaha untuk memaksa Harvard untuk mematuhi gabungan pandangan dan ideologi pilihan Kerajaan,” menurut kenyataan itu.

    Universiti berkenaan merupakan institusi utama pertama yang secara terbuka menentang arahan pentadbiran tersebut, yang menurut pegawai Trump bertujuan memerangi antisemitisme susulan protes kampus berkaitan perang ganas Israel di Semenanjung Gaza.

    Pentadbiran itu turut menyasarkan program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI), yang disifatkan mereka sebagai, “diskriminasi yang haram dan tidak bermoral.”

    Walaupun pentadbiran Trump mendakwa tujuannya adalah untuk memerangi antisemitisme, Garber berkata beliau, sebagai seorang Yahudi dan rakyat Amerika, amat memahami bahawa terdapat ‘kebimbangan yang sah’ mengenai peningkatan antisemitisme.

    “Harvard mengambil serius usaha ini. Kami akan terus melawan kebencian dengan penuh keprihatinan. Sebelum mengambil tindakan hukuman, undang-undang menetapkan bahawa kerajaan persekutuan perlu berunding dengan kami mengenai cara kami menanganinya dan akan terus memerangi antisemitisme,” katanya lagi. – Bernama/Anadolu

    Pintu masuk ke Harvard Law School di Cambridge, Massachusetts pada Jun 2023. Harvard saman pentadbiran Trump susulan pemotongan dana. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda