HONG KONG – Menggunakan set kepala realiti maya (VR), pelajar-pelajar di universiti Hong Kong pergi ke pavilion di atas awan untuk menonton Albert Einstein yang dijana AI menerangkan teori permainan.
Para pelajar berkenaan adalah sebahagian daripada kursus di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) yang menguji penggunaan ‘pensyarah AI’ ketika revolusi kecerdasan buatan (AI) melanda kampus-kampus di seluruh dunia.
Ketersediaan meluas alat-alat seperti ChatGPT telah mencetuskan keyakinan tentang lonjakan baharu dalam produktiviti dan pengajaran, tetapi juga kebimbangan terhadap penipuan, plagiarisme dan penggantian tenaga pengajar manusia.
Profesor Pan Hui, ketua untuk projek AI di HKUST, tidak bimbang untuk digantikan oleh teknologi itu dan percaya ia sebenarnya boleh membantu mengurangkan apa yang disifatkannya sebagai kekurangan guru global.
“Guru AI boleh membawa kepelbagaian, membawa aspek menarik, dan juga penceritaan yang mengasyikkan,” kata Hui kepada AFP.





Dalam kursus Media Sosial untuk Kreatif beliau, tenaga pengajar yang dijana AI mengajar 30 orang pelajar lepasan ijazah tentang teknologi imersif dan kesan platform digital.
Tenaga pengajar berkenaan dijana selepas slaid pembentangan dimasukkan ke dalam program. Rupa, suara dan gerak isyarat avatar boleh disesuaikan dan ia boleh dipaparkan pada skrin atau set kepala VR.
Ini digabungkan dengan pengajaran secara bersemuka oleh Hui, yang mengatakan
sistem itu membebaskan pensyarah manusia daripada bahagian ‘lebih membosankan’ dalam tugas mereka.
Bagi pelajar Lerry Yang, yang penyelidikan PhD memfokuskan pada metaverse, kelebihan pensyarah AI adalah dalam keupayaan untuk menyesuaikannya mengikut keutamaan individu dan meningkatkan pembelajaran.
Jika guru AI “membuat saya berasa lebih terbuka dari segi mental, atau jika ia berasa mudah didekati dan mesra, itu menghapuskan perasaan jarak antara saya dan profesor”, katanya kepada AFP.
Pendidik di seluruh dunia sedang bergelut dengan penggunaan AI generatif yang semakin meningkat, daripada cuba mengesan plagiarisme dengan pasti kepada menetapkan sempadan untuk penggunaan alat-alat seumpamanya.
Walaupun pada mulanya teragak-agak, kebanyakan universiti Hong Kong pada tahun lepas membenarkan pelajar menggunakan AI ke tahap yang berbeza daripada kursus ke kursus.
Di HKUST, Hui sedang menguji avatar dengan jantina dan latar belakang etnik yang berbeza, termasuk persamaan tokoh akademik terkenal seperti Einstein dan ahli ekonomi John Nash.
“Setakat ini, jenis pensyarah yang paling popular adalah wanita muda yang cantik,”
kata Hui.
Eksperimen dengan watak anime Jepun mencetus pendapat yang berlainan, kata Christie Pang, seorang pelajar PhD yang bekerja dengan Hui dalam projek itu.
“Mereka yang suka sangat menyukainya. Tetapi sesetengah pelajar merasakan mereka tidak boleh mempercayai apa yang (pensyarah) katakan,” katanya.
Mungkin ada masa depan di mana guru AI mengatasi manusia dari segi kebolehpercayaan, kata Hui, walaupun dia berkata dia lebih suka gabungan kedua-duanya.
“Kita sebagai guru universiti akan lebih menjaga pelajar kita, contohnya kecerdasan emosi, kreativiti dan pemikiran kritis mereka,” katanya.
Buat masa ini, sebalik faktor wow untuk pelajar, teknologi itu jauh daripada tahap yang boleh menimbulkan ancaman serius kepada guru manusia.
Ia tidak boleh berinteraksi dengan pelajar atau menjawab soalan dan seperti semua penjana kandungan dikuasakan AI, ia boleh menawarkan jawapan palsu, malah pelik –
kadangkala digelar ‘halusinasi’.
Dalam tinjauan terhadap lebih 400 pelajar tahun lepas, profesor dari Universiti Hong Kong, Cecilia Chan mendapati bahawa responden lebih mengutamakan manusia berbanding avatar digital.
“(Pelajar) masih lebih suka bercakap dengan orang sebenar, kerana guru sebenar akan memberikan pengalaman, maklum balas dan empati mereka sendiri,” kata Chan, yang menyelidik persilangan AI dan pendidikan.
“Adakah awda lebih suka mendengar ‘syabas’ daripada komputer?”
Bagaimanapun , pelajar sudah menggunakan alatan AI untuk membantu mereka belajar, tambah Chan.
“Semua orang melakukannya.”
Di HKUST, pelajar Hui Yang menyuarakan pandangan itu: “Awda tidak boleh menentang kemajuan teknologi ini.” – AFP

