SEOUL, 24 JUN – Universiti Wanita Sookmyung di Korea Selatan telah membatalkan ijazah sarjana yang dianugerahkan kepada bekas wanita pertama, Kim Keon Hee, selepas mendapati tesis beliau diplagiat, lapor agensi berita Yonhap.
Dalam satu kenyataan hari ini, universiti itu menyatakan keputusan dibuat oleh jawatankuasa di bawah Fakulti Siswazah Pendidikan bagi ‘menegakkan etika penyelidikan dan mengukuhkan kredibiliti akademik’.
Kim, isteri kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang dipecat, menerima ijazah sarjananya daripada universiti itu berdasarkan tesis dikemukakan pada 1999.
Universiti itu mula menyiasat dakwaan plagiat pada pertengahan Disember 2022.
Tidak lama selepas itu, Universiti Kookmin mengumumkan pihak universiti telah memulakan prosedur untuk membatalkan ijazah kedoktoran Kim.
Institusi itu merujuk kepada Akta Pendidikan Tinggi, yang menyatakan ijazah sarjana yang sah adalah prasyarat untuk kemasukan ke program kedoktoran.
Sekiranya kelayakan itu dibatalkan, calon menjadi tidak layak untuk menerima ijazah kedoktoran. – Bernama
