UNN kekurangan pekerja, pemasangan meningkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) terus menggandakan usaha untuk memenuhi permintaan daripada orang ramai yang meningkat
secara mendadak bagi penyambungan FTTH.

Dalam hubungan itu, pengurangan jumlah pekerja untuk melaksanakan tugas-tugas pemasangan baru-baru ini, bukannya disebabkan pelaksanaan pelan kelangsungan perniagaan (BCP) tetapi disebabkan sebilangan besar pekerja berkenaan dikeluarkan Perintah Kuarantin (QO).

Pada satu peringkat, lebih 100 orang pekerja telah dikeluarkan QO iaitu antara 17 peratus hingga 20 peratus kakitangannya dan ia telah menjejaskan operasinya, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas mengenai tunggakan penyambungan FTTH oleh UNN pada sidang media yang berlangsung di Dewan
Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau juga menerangkan, dengan langkah kawalan yang dilaksanakan, terdapat peningkatan permohonan bagi pemasangan yang baharu.

Sebelum pengawalan berkenaan, terdapat antara 40 hingga 45 permohonan bagi pemasangan dan sejak 7 Ogos lalu, secara purata 60 hingga 70 permohonan bagi pemasangan.

“Pada satu tangan, kita mempunyai peningkatan permohonan pemasangan dan di tangan sebelah, kita mempunyai kekurangan orang untuk melaksanakan pemasangan itu,” ujarnya.
Beliau menerangkan bahawa biasanya terdapat lebih 60 pasukan yang melakukan pemasangan di mana setiap pasukan mampu untuk melaksanakan kira-kira tiga pemasangan sehari iaitu kira-kira 2,000 pemasangan setiap bulan.

Tetapi dengan penularan gelombang kedua COVID-19, jumlah pasukan telah berkurangan sehingga ke pe-ringkat di mana UNN terpaksa melihat pada kakitangan teknikal yang lain untuk menubuhkan pasukan pemasangan di mana dengan inisiatif itu, mereka dapat menubuhkan kira-kira 40 pasukan.

Jika dilihat pada jumlah itu, jelas Yang Berhormat Dato, mereka dapat melakukan kira-kira 1,200 pemasangan sebulan iaitu menurun daripada jumlah sebelumnya.

Oleh itu, secara kesimpulannya, beliau berkata mereka menyaksikan peningkatan permintaan tetapi tidak mampu untuk memenuhi permintaan berkenaan kerana kekurangan kakita-ngan untuk melaksanakannya.

Disebabkan itu, pihak UNN berhadapan isu tertunggak kira-kira 1,000 permohonan pemasangan dan pihak syarikat sedang berusaha untuk mempercepatkan pemasangan
berkenaan.

Di samping itu, mereka berhadapan dengan pusat-pusat pengasingan baharu yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan yang juga memerlukan pemasangan di mana pasukan perlu melaksanakan pemasangan berkenaan.

Selain daripada cabaran-cabaran berkenaan, pihak UNN juga berhadapan dengan masalah kejadian kecurian kabel yang perlu ditangani.

Yang Berhormat Dato berharap dengan lebih 100 orang kakitangan UNN yang telah dikeluarkan QO kini mula kembali bekerja, ia akan membolehkan mereka untuk menguruskan keadaan dengan lebih baik.