BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Dalam usahanya ke arah menjadi perintis platform digital, Unified National Networks (UNN) baru-baru ini, telah memperkenalkan perkhidmatan IoT baharu untuk menyampaikan data menerusi rangkaian mudah alih.
UNN dalam kenyataannya menjelaskan, cadangan berkenaan menawarkan keupayaan machine-to-machine (M2M) bagi peranti-peranti saling berhubung untuk bertukar maklumat dalam persekitaran satu ke satu, dengan server berpusat khas bagi pengumpulan dan pemprosesan data.
Perkhidmatan IoT berkenaan membolehkan pelbagai penggunaan, contohnya menyampaikan perkhidmatan pemantauan bagi status peralatan, pemantauan penggunaan dan pengesanan aset.
Ia boleh dipelbagaikan untuk memenuhi berbagai-bagai penggunaan seperti meter pintar, sistem letak kereta pintar, pengesanan geo-lokasi, pemantauan tanaman dan sebagainya.
Dengan pengenalan penyelesaian baharu dalam pasaran digital di Brunei itu, UNN berharap untuk membolehkan lebih banyak penggunaan M2M
secara meluas sebagai sebahagian daripada peruntukan perkhidmatan IoT jangka masa panjang yang ditawarkan menerusi syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.