Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNN, SCOT serah sumbangan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan UNN

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Dalam kegembiraan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Unified National Networks (UNN) menyertai kegiatan amal, Ramadhan Charity Drive 2021 anjuran Society for Community Outreach & Training (SCOT) Brunei iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan yang mempunyai misi sebagai pemangkin bagi pengurangan kemiskinan yang berterusan di negara ini.

    Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh UNN dan SCOT Brunei, di sini, aktiviti berkebajikan itu merupakan aktiviti yang diadakan setiap tahun dengan matlamat untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan di seluruh negara di mana derma daripada orang ramai dan organisasi telah digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang kemudian diberikan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka terutamanya menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Kenyataan menyatakan pada 2021, SCOT meraikan ulang tahun ke-10 bagi Ramadhan Charity Drive dengan meningkatkan kuota bantuan yang biasa dilaksanakan iaitu sebanyak 100 buah keluarga yang kurang berkemampuan di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta rakan-rakan SCOT lain, dinaikkan kepada 150 buah keluarga di mana sasaran itu berjaya dicapai dengan bantuan penaja-penaja serta orang ramai, yang menjadikannya jumlah sumbangan terbanyak yang pernah disampaikan setakat ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler dalam kenyataan itu berkata, menyaksikan ramai sukarelawan muda daripada SCOT Brunei yang terlibat dalam merancang, menganjurkan dan melaksanakan Ramadhan Charity Drive pada tahun ini merupakan satu pemandangan yang sangat menggalakkan.

    Beliau menjelaskan kesungguhan sukarelawan muda berkenaan telah memberikan mereka semangat untuk melaksanakan lebih daripada apa yang telah dilaksanakan oleh mereka sebelum ini dan untuk membantu mencapai sasaran yang ditetapkan bersama.

    Warga UNN dan SCOT ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan semasa Ramadhan Charity Drive 2021 di Daerah Belait.
    Warga UNN dan SCOT serta rakan ketika bergambar ramai semasa menyampaikan sumbangan di Daerah Belait.
    Antara warga UNN dan SCOT yang menyertai Ramadhan Charity Drive 2021 di Daerah Tutong.
    Warga UNN dan SCOT ketika melakukan pembahagian sumbangan di Daerah Tutong.

    Dalam kenyataan itu, UNN telah menaja pembelian barangan keperluan bagi 100 buah keluarga yang memerlukan yang dikenal pasti oleh SCOT Brunei di mana ia menjadikan UNN sebagai penyumbang terbesar kepada inisiatif SCOT Brunei bagi tahun ini.

    Di samping itu, UNN juga menyediakan lima buah kenderaan UNN bagi pengangkutan barangan sumbangan berkenaan untuk disampaikan kepada keluarga-keluarga yang telah dikenal pasti.

    Sukarelawan daripada UNN dan SCOT Brunei berusaha selama dua hujung minggu pada bulan April, untuk memasukkan barangan keperluan ke dalam kenderaan UNN dan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh Persatuan Kereta Tahan Lasak Brunei (PKTLB) dan Brunei Four Wheel Drive Association (BFWDA) sebelum bergerak untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang tinggal di Daerah Temburong, Tutong dan Belait.

    Sumbangan kepada 150 buah keluarga yang dikenal pasti adalah 50 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara menerima barangan yang disumbangkan oleh ITPSS, East Asset Team, Jati Transport, Ideal Food Industries dan orang ramai pada 17 April, 35 buah keluarga di Daerah Temburong menerima barangan keperluan yang disumbangkan oleh UNN pada 18 April, 30 buah keluarga di Daerah Tutong menerima barangan keperluan yang disumbangkan oleh UNN pada 24 April serta 35 buah keluarga di Daerah Belait khususnya di kawasan Sukang dan Labi, menerima barangan keperluan yang disumbangkan oleh UNN pada 25 April.

    Dalam kenyataan itu, UNN dan SCOT Brunei ingin untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja UNN yang telah menyumbangkan masa mereka kepada kerja amal itu, pasukan SCOT yang menyusunkan barangan dan logistik untuk sumbangan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan, SSphotography.bn yang menyediakan liputan media bagi acara amal itu serta juga penaja-penaja lain dari ITPSS, East Asset Team, Jati Transport, Ideal Food Industries, PKTLB, BFWDA dan orang ramai atas sokongan serta sumbangan mereka bagi menjayakan Ramadhan Charity Drive 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda