Sunday, May 12, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    UNN taja Hydrostar di FIRST Global Challenge

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) dengan bangganya telah menaja Hydrostar, sebuah pasukan yang terdiri daripada lima orang pelajar berbakat tempatan dari pelbagai sekolah menengah dalam FIRST Global Challenge yang diadakan di Singapura dari 7 hingga 10 Oktober lalu.

    Penajaan itu menekankan komitmen organisasi untuk menyokong program yang memperkasakan belia ke arah membuka potensi inovasi mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

    FIRST Global Challenge ialah pertandingan robotik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serupa dengan acara gaya Olimpik yang dihoskan di negara berbeza setiap tahun.

    Tema untuk tahun ini ialah Hydrogen Horizons di mana peserta dicabar untuk membina robot bagi menavigasi melalui persekitaran simulasi dalam menghasilkan hidrogen dan menggunakannya untuk menyimpan, mengangkut dan menukar tenaga.

    Pasukan dari seluruh dunia ditugaskan untuk mereka bentuk, membina dan memprogramkan robot untuk bersaing dalam beberapa siri cabaran.

    Pasukan Hydrostar bergambar ramai bersama Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr. Steffen Oehler dan kakitangan UNN yang lain. – GAMBAR SERAHAN UNN

    Misi pertandingan tersebut adalah untuk memupuk kepimpinan dan inovasi dalam kalangan belia dengan menyediakan platform untuk persaingan kolaboratif dan memupuk komuniti silang budaya dengan harapan untuk menangani cabaran global.

    Hydrostar sebelum ini memenangi tempat pertama dalam National Robotic Coding Conquest 2023 anjuran Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Makmal Tenaga Seria pada Julai 2023.

    Inovator muda itu telah mempamerkan kemahiran, dedikasi dan semangat yang luar biasa untuk robotik.

    Mereka membayangkan masa depan bagi Negara Brunei Darussalam di mana teknologi robotik termaju boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan jejak karbon secara aktif, mengoptimumkan peruntukan sumber, dan memangkin merealisasikan tenaga boleh diperbaharui sebagai realiti yang meluas.

    Semasa penyertaan mereka dalam FIRST Global Challenge, Hydrostar mencapai rekod mengagumkan iaitu enam kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan dalam 10 perlawanan mereka, menempatkan mereka dalam kedudukan 126 daripada 191 negara.

    Pakar strategi dan jurucakap Hydrostar, Dayang Aqilah Balqis binti Asrul Hanafi menekankan matlamat bersama pasukan dengan berkata, “Walaupun kami datang daripada latar belakang dan kepercayaan yang berbeza, kami semua mempunyai objektif yang sama, untuk menginovasi penyelesaian untuk masa depan tenaga yang mampan.

    “Selain bersaing dengan negara lain, pertandingan ini menyediakan platform untuk mendidik belia tentang STEM dan mencari penyelesaian kepada isu-isu alam sekitar global melalui teknologi dan sains. Ia adalah peluang yang baik untuk mengukuhkan keyakinan kami dan kemahiran komunikasi sambil didedahkan kepada pelbagai budaya,” tambah pengekod untuk Hydrostar, Awang Nazri bin Haji Abdul Rahman.

    Pemandu robot Hydrostar, Awang Zul Husmi bin Yunus juga menekankan peluang untuk belajar dari negara-negara lain dengan menyatakan, “Bukan sahaja kita akan memperoleh pengetahuan yang berharga dan pengalaman hebat, tetapi kita juga dapat mempelajari perkara baharu dari perspektif negara lain.”

    Memandangkan teknologi kita terus berkembang pesat, industri berteknologi tinggi menuntut tenaga kerja yang mahir dan inovatif untuk membina penyelesaian tenaga yang lebih mampan dan boleh diperbaharui untuk masa hadapan.

    Melalui FIRST Global Challenge, adalah diharapkan bakat muda tersebut memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang akan memberi manfaat kepada pembangunan mereka dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menjadi penyumbang dan pembuat perubahan untuk masa depan yang lebih cerah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...