Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) telah diiktiraf atas komitmennya terhadap kelestarian dan pemerkasaan komuniti selepas menerima anugerah ESG Initiative of the Year di Asian Telecom Awards 2025.
Majlis penganugerahan yang berlangsung di Marina Bay Sands Expo & Convention Centre, Singapura pada 20 Februari lalu, menyaksikan UNN menerima pengiktirafan atas program jangkauannya, UNNity for Local Community.
Sebagai sebahagian daripada Projek Pembangunan Luar Bandar yang bermula pada tahun 2020, UNN telah membangunkan stesen pangkalan berkuasa solar hibrid di kawasan pedalaman di Brunei Darussalam.
Sehingga kini, enam stesen yang beroperasi telah menyediakan sambungan telekomunikasi luar grid yang lestari kepada komuniti luar bandar, memastikan akses kepada infrastruktur telekomunikasi penting sambil menggunakan tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
Menyedari cabaran logistik dalam menyelenggarakan tapak berkenaan, UNN telah memperluaskan inisiatifnya dengan melibatkan komuniti setempat.
Program UNNity for Local Community memperkasa penduduk luar bandar dengan melibatkan mereka dalam penyelenggaraan dan penjagaan asas stesen berkuasa solar ini.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan kesalinghubungan yang inklusif, tetapi juga secara signifikan mengurangkan jejak karbon UNN, dengan mengurangkan anggaran pelepasan 643.2kg CO2 sebulan dengan meminimumkan keperluan perjalanan kerap ke kawasan terpencil tersebut.
Pendekatan UNN yang berasaskan kelestarian telah mendapat pujian daripada pakar industri dari Ernst & Young (EY), PricewaterhouseCoopers (PwC) China dan Deloitte Asia Tenggara, yang mengiktiraf sumbangan luar biasa syarikat tersebut dalam kalangan firma telekomunikasi terkemuka di rantau ini.
Mewakili UNN untuk menerima anugerah ESG Initiative of the Year ialah Ketua Akademi dan Peneraju Program Jangkauan Komuniti, Regina Goh dan Ketua Pengurusan Kemudahan dan Penasihat Program Jangkauan Komuniti, Christine Leong.
Dalam ucapannya, Regina Goh menegaskan komitmen UNN terhadap keterangkuman digital dengan menyatakan, “Visi UNN adalah untuk membina Brunei yang pintar dengan memastikan kesalinghubungan di seluruh negara dan menyokong bakat tempatan.
“Misi kami adalah untuk memperkasakan masyarakat digital di mana semua rakyat Brunei boleh mengakses perkhidmatan internet yang mampu milik dan bermakna,” ujarnya.
Christine Leong turut menegaskan dedikasi UNN terhadap kelestarian dengan menambah, “UNN telah lama menjadi penyokong bertanggungjawab alam sekitar dan penerapan teknologi yang beretika.
“Kami berbesar hati menerima anugerah ini, yang mengiktiraf usaha kami dalam menggabungkan teknologi, inovasi dan kelestarian.”
Pengiktirafan ini menekankan kepimpinan UNN dalam penyelesaian telekomunikasi lestari serta menonjolkan komitmen syarikat terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti yang berterusan.