NEW YORK, 9 MEI – Tiga sekolah UNRWA di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki telah diserbu oleh tentera Israel lengkap bersenjata, memaksa lebih 550 pelajar meninggalkan bilik darjah, kata Ketua Pesuruhjaya Agungnya Philippe Lazzarini, lapor agensi berita Qatar (QNA).
Lazzarini menerusi hantaran di platform X menyifatkan serbuan itu sebagai ‘serangan terhadap kanak-kanak dan pendidikan’ serta ‘pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. Akibatnya, UNRWA terpaksa memindahkan semua kanak-kanak di enam sekolah yang dikendalikannya di Baitulmuqaddis Timur.
Tambahnya, “Kini, hampir 800 kanak-kanak perempuan dan lelaki ada yang berumur seawal enam tahun mengalami kejutan dan trauma.” – Bernama
