Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNRWA: Sejuta wanita, gadis berisiko kebuluran di Gaza

    GAZA/ISTANBUL, 17 OGOS – Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kelmarin telah memberi amaran, kira-kira sejuta wanita dan gadis di Semenanjung Gaza berdepan kebuluran akibat sekatan berbulan-bulan serta perang yang memusnahkan wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    “Wanita dan gadis di Gaza berdepan kebuluran, keganasan dan penderaan.

    “Mereka terpaksa menggunakan strategi bertahan hidup yang semakin berbahaya, termasuk keluar mencari makanan dan air dengan risiko tinggi ditembak mati,” menurut UNRWA dalam satu hantaran di platform media sosial X.

    Agensi itu mendesak sekatan ke atas Gaza ditamatkan dan penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar dibenarkan segera.

    Gaza kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarahnya, dengan kebuluran memburukkan lagi konflik yang sedang berlaku.

    Sejak 2 Mac, Israel telah menutup semua lintasan ke wilayah itu, menyekat bantuan kemanusiaan dan mengakibatkan Gaza di ambang kebuluran meskipun ribuan trak bantuan menunggu di sempadan.

    Hanya sedikit bekalan dibenarkan masuk, jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang kebuluran.

    Manakala, pada awal bulan ini, Program Makanan Sedunia PBB (WFP) turut memberi amaran, satu pertiga daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah berhari-hari kebuluran tanpa makanan.

    Israel telah membunuh hampir 61,900 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. – Bernama

    Naima Abu Ful bersama anaknya Yazan antara penduduk Gaza yang mengalami kekurangan zat makanan, di salah sebuah kem pelarian Shati, Gaza pada 23 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda