RIYADH, 12 NOV – Sidang Kemuncak Tergempar Islam dan Arab yang baru sahaja selesai menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) membuat keputusan tegas dan memuktamadkan segera gencatan senjata di Gaza serta menyekat sebarang tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan malam tadi pada penghujung sidang tergempar sehari bagi membincangkan pencerobohan Israel yang berterusan ke atas Palestin itu, negara-negara peserta menggesa agar ditamatkan segera pengepungan terhadap Gaza dan membenarkan konvoi bantuan kemanusiaan Arab, Islam dan antarabangsa memasuki Gaza.
“Menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil keputusan yang tegas dan memuktamadkan keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata dan menyekat pihak berkuasa pendudukan penjajah yang melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta resolusi legitimasi antarabangsa, iaitu yang terbaharu Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu No. A/ES-10/L.25 bertarikh 26/10/2023.
“Tidak bertindak dianggap sebagai satu persekongkolan yang membolehkan Israel meneruskan pencerobohan kejamnya yang membunuh orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, orang tua dan wanita, serta meranapkan bumi Gaza,” menurut kenyataan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada sidang kemuncak bersama itu telah menggesa semua negara anggota Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk secara konsisten dan tegas menyeru gencatan senjata dilakukan segera dan mempercepatkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. – Bernama
