KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap serbuan terhadap rakyat Palestin di kompleks Masjid Al-Aqsa, kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin cedera.
Menyifatkan serangan itu sebagai jenayah keji, Perdana Menteri juga mendesak mereka membebaskan segera semua tahanan Palestin yang ditahan semasa serbuan tersebut.
Anwar berkata masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan.
“Malaysia terus berdiri dalam solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam,” kata beliau di Twitter hari ini.
Tentera Israel kelmarin menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Palestin.
Menurut laporan media, tentera Israel menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih, melepaskan bom pegun, memukul jemaah Palestin dan menahan kira-kira 350 jemaah.
Menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin, polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dipindahkan dari Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu. – Bernama


